UiTM kerjasama industri sedia Menu Rahmah

Roziah (dua dari kanan) mengiringi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan poster selepas Majlis Perasmian Penutup UiTM Health Competition di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, di sini pada Selasa.
Roziah (dua dari kanan) mengiringi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan poster selepas Majlis Perasmian Penutup UiTM Health Competition di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang menerima permohonan daripada sebuah syarikat pemborong dan peruncit ternama untuk menyediakan Menu Rahmah di seluruh kampus universiti itu seluruh negara.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, program itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penuntut dalam kalangan keluarga B40.

Menurutnya, pada masa ini, pihak industri terbabit sedang mendapatkan nama penerima layak daripada Hal Ehwal Pelajar UiTM.

"Kita menggalakkan usaha kolaboratif dengan pihak industri termasuk penyediaan Menu Rahmah yang menyediakan nasi, lauk dan sayur berharga RM5.50," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup UiTM Health Competition di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, di sini pada Selasa.

Ditanya tentang terdapat kemungkinan penyediaan Menu Rahmah ditawarkan kepada penuntut UiTM menjejaskan peniaga di dalam kampus, Roziah memberitahu, perkara itu perlu dipandang positif semua pihak bagi mengurangkan beban penuntut universiti.

Roziah memberitahu, pihaknya bersikap terbuka dalam perkara itu dan berharap lebih ramai lagi pengusaha makanan dalam kampus menyediakan Menu Rahmah.

"Memang ada bunyi (rungutan daripada peniaga makanan dalam kampus), tetapi kita perlu terbuka dan menggalakkan pengendali makanan UiTM juga turut sama menyahut seruan kerajaan," kata beliau.

Tambah beliau, UiTM sejak dari dulu lagi sentiasa menyediakan menu makanan berpatutan kepada penuntutnya.

Jelas beliau, UiTM suatu ketika dahulu melaksanakan menu Keluarga Malaysia serendah RM3.50 dan penjualannya terhad berdasarkan siapa paling awal.

"Kita perlu mendapatkan persetujuan daripada peniaga dalam kampus kerana mereka bukan sahaja boleh menyediakan Menu Rahmah tetapi mempunyai pilihan lain makanan yang boleh ditawarkan," kata beliau.