Muhyiddin dakwa Zahid dalang kluster mahkamah Bersatu

Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur pada Selasa.
Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kes kluster mahkamah melibatkan pemimpin parti itu didalangi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, tindakan itu dipercayai antara usaha yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk melumpuhkan partinya setelah melihat sokongan kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) semakin kuat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Hari ini Bersatu telah menjadi sasaran pendakwaan terpilih. Menerima sumbangan dana politik tiba-tiba telah menjadi satu kesalahan jenayah.

"Beberapa orang pemimpin Bersatu telah didakwa di mahkamah kerana menerima sumbangan dana untuk menjalankan aktiviti parti.

"Mengapa saya katakan pendakwaan terpilih ialah kerana parti-parti politik dalam kerajaan terutamanya PH dan BN juga menerima sumbangan daripada ahli-ahli perniagaan atau sumbangan orang ramai.

"Tetapi pemimpin parti mereka ini tidak pun didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Muhyiddin sebelum ini hadir bagi memberi sokongan kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menghadapi proses pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Dalam masa sama, Pengerusi PN itu juga mengakui sedih kerana ini adalah kali pertama pemimpin Bersatu dibawa ke mahkamah.

"Saya harap beliau (Wan Saiful) akan dapat perbicaraan yang adil dan mahkamah akan melakukan apa yang perlu, insya-ALLAH dengan doa kita semua beliau tidak akan didapati bersalah," tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai pendakwaan terpilih, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti.

Justeru katanya, perlembagaan parti membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti seperti Bersatu.

"Ini termasuk dana yang diterima daripada ahli-ahli perniagaan dan setakat ini tidak ada satu pun undang-undang khusus untuk pembiayaan politik di Malaysia.

"Pendakwaan terpilih ini berlaku ketika kerajaan PH dan BN dilihat semakin gagal dalam menyelesaikan masalah rakyat serta bakal ditolak dalam pilihan raya di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi," ujarnya.

Muhyiddin turut menegaskan, sumbangan yang diterima oleh Bersatu adalah daripada sumber yang sah dan tidak menyalahi undang-undang.

Menurutnya, memandangkan tindakan pendakwaan terpilih telah diambil terhadap beberapa pemimpin Bersatu, beliau yakin pembelaan yang wajar dan adil akan ditegakkan di mahkamah.

"Mahkamah rakyat pula akan menghukum PH, BN di atas niat jahat mereka melakukan tindakan berbentuk 'witch-hunting' dan pendakwaan terpilih secara berterusan terhadap lawan politik mereka.

"Saya meminta agar ahli-ahli parti Bersatu bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Kepimpinan parti sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut saluran undang-undang," kata beliau.