Johor sasar RM100 juta pendapatan pelancongan kesihatan

Johor sasar peroleh pendapatan sebanyak RM100 juta daripada sektor pelancongan kesihatan tahun ini. - Foto 123RF
Johor sasar peroleh pendapatan sebanyak RM100 juta daripada sektor pelancongan kesihatan tahun ini. - Foto 123RF
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor menyasarkan perolehan menarik lebih 100,000 pelancong luar negara dengan capaian peroleh pendapatan sebanyak RM100 juta daripada sektor pelancongan kesihatan pada tahun ini.

Timbalan Pengarah Tourism Johor, Mohd Azlan Jalil berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan negeri ini mempunyai tujuh hospital swasta dan 42 fasiliti kesihatan.

"Tahun lepas, perolehan pendapatan daripada sektor pelancongan kesihatan sebanyak RM80 juta. Kita harap jumlah perolehan pendapatan ini akan meningkat menerusi pelbagai promosi yang dilakukan antaranya hotel kesihatan.

"Menerusi kerjasama dengan agensi pelancongan, Tourism Johor dapat melibatkan hotel dalam sektor pelancongan kesihatan.

"Pelancong bukan sahaja mendapatkan rawatan tetapi juga dapat melancong dan menginap hotel di sini," katanya.

Mohd Azlan (tengah) bersama pemain industri pelancongan Johor pada Program Latihan Perubatan dan Pelancongan Kesihatan di Iskandar Puteri pada Isnin.
Mohd Azlan (tengah) bersama pemain industri pelancongan Johor pada Program Latihan Perubatan dan Pelancongan Kesihatan di Iskandar Puteri pada Isnin.

Beliau berkata demikian pada Program Latihan Perubatan dan Pelancongan Kesihatan Johor di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Mohd Azlan memberitahu, sektor pelancongan kesihatan ini disasarkan kepada pelancong dari Singapura, Indonesia, India, China, Vietnam dan Korea.

"Bagaimanapun, pelancong Indonesia daripada Kepulauan Riau dilihat mempunyai potensi besar memandangkan kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Johor.

"Kemudahan feri dengan perjalanan terus dari Batam ke Puteri Harbour, Iskandar Puteri menjadi salah satu kelebihan," katanya.