Misi ke Piala AFC, Selangor FC anggap semua pasukan 'pengacau'

Dr Johan (dua dari kanan) bersama Che Ibrahim (tiga dari kanan) dan Rozi (tiga dari kiri) pada Majlis Pemasyhuran Kerjasama Strategik Liga Malaysia 2023 antara Konsortium E-Mutiara Berhad dan Selangor FC serta Kelantan United di Kota Bharu pada Isnin.
Dr Johan (dua dari kanan) bersama Che Ibrahim (tiga dari kanan) dan Rozi (tiga dari kiri) pada Majlis Pemasyhuran Kerjasama Strategik Liga Malaysia 2023 antara Konsortium E-Mutiara Berhad dan Selangor FC serta Kelantan United di Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

SELANGOR FC menganggap semua pasukan yang bersaing di Liga Super musim ini sebagai 'pengacau' dalam misi mereka layak ke pentas Piala AFC 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, hal ini kerana semua pasukan membuat persiapan rapi bagi mengharungi saingan musim 2023.

"Jadi kita (Selangor FC) tidak boleh memandang rendah kepada setiap keupayaan pasukan lawan.

"Saya nampak saingan Liga Super tahun ini bukan sahaja sengit malah menarik untuk disaksikan dengan kehadiran 14 pasukan terkuat," katanya pada Majlis Pemasyhuran Kerjasama Strategik Liga Malaysia 2023 antara Konsortium E-Mutiara Berhad dan Selangor FC serta Kelantan United di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif, Che Ibrahim Che Ismail dan Presiden Kelantan United FC, Rozi Mohamad.

Menurut beliau, Selangor FC perlu memanfaatkan setiap perlawanan dengan memberikan aksi terbaik bagi memastikan mereka tidak keciciran mata.

Ujarnya, Selangor FC mahu layak secara automatik ke saingan Piala AFC melalui saingan Liga Super atau Piala FA.

Dr Johan memberitahu, persiapan Selangor FC kini berada dalam keadaan terbaik untuk mengharungi saingan musim ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Che Ibrahim berkata, untuk musim ini pihaknya menaja pengangkutan untuk pasukan Kelantan United dan Selangor FC.

"Tajaan untuk kedua-dua pasukan itu membabitkan nilai berjumlah RM1 juta.

"Kita berharap kedua-dua pasukan mampu mencipta kejayaan dalam saingan musim ini," katanya.