Cameron dilantik ketua jurulatih skuad B-20 wanita

Cameron merupakan ketua unit akar umbi FAM. - Foto Facebook FAM
Cameron merupakan ketua unit akar umbi FAM. - Foto Facebook FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin mengumumkan Cameron Ng sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak bawah 20 tahun (B-20) wanita kebangsaan yang baharu.

Pemilihan Cameron itu dibuat selepas perbincangan serta penilaian menyeluruh dilakukan bersama antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell dan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob.

Menurut Scott, selepas berkhidmat selama tiga tahun bersama FAM sejak 2020 sebagai Ketua Unit Akar Umbi FAM, Cameron telah menunjukkan kredibiliti sebagai seorang jurulatih menerusi pelbagai aktiviti pembangunan pemain yang telah dijalankannya.

“Cameron bukan sahaja aktif dalam program-program pembangunan pemain tetapi beliau juga adalah salah seorang instruktur untuk Unit Pendidikan Kejurulatihan FAM yang dikendalikan oleh Lim Kim Chon.

“Beliau telah menunjukkan kesungguhannya di dalam kejurulatihan menerusi program-program akar umbi dan komitmen seperti ini yang amat diperlukan oleh skuad bola sepak B-20 wanita kebangsaan terutama sekali dengan kempen Kelayakan Piala Asia B-20 Wanita 2024 bulan depan.

“Komitmen Cameron juga boleh dilihat sewaktu beliau membantu Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi pada sesi percubaan dan pemilihan pemain baru-baru ini.

“Dengan kerjasama di antara Soleen dan Cameron yang sentiasa bertukar idea dan pendapat di belakang tabir, saya berharap ia dapat mewujudkan persekitaran yang lebih profesional serta positif untuk skuad bola sepak wanita kebangsaan,” kata Scott menerusi kenyataan di Facebook FAM.

Pengumuman itu dibuat di Wisma FAM, Kelana Jaya yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

Dalam pada itu, pelantikan Cameron sebagai ketua jurulatih skuad muda Malayan Tigress turut disambut baik oleh Soleen.

“Cameron mempunyai pemahaman tinggi mengenai sistem bola sepak moden dan kualiti itu amat diperlukan bagi membentuk pasukan yang kuat dan lebih kompetitif.

“Kebolehan Cameron dalam bidang kejurulatihan ini boleh dilihat menerusi komitmennya terhadap pembangunan pemain dan pengalamannya sudah tentu dapat diterapkan di dalam skuad Malayan Tigress B-20,” ujar Soleen.

Biarpun telah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-20 wanita kebangsaan, Cameron masih tetap akan meneruskan tugasnya sebagai Ketua Unit Akar Umbi FAM.