'Saya bawa semangat mak, ayah ke gelanggang'

Muhd Khairul Aizat Samsool
Muhd Khairul Aizat Samsool
A
A
A

BERBEKALKAN harapan dan semangat daripada ibu dan bapa, Muhd Khairul Aizat Samsool yakin mampu menumbangkan lawannya dalam Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Antarabangsa, sekali gus membawa pulang tali pinggang kuda merah.

Pemuda berusia 28 tahun yang lebih dikenali dengan nama gelanggang, Apizat mengakui sudah 80 peratus bersedia menghadapi lawannya, Amin Apollo daripada Kelab Discover Muaythai.

“Mak dan ayah saya tidak dapat hadir menonton perlawanan itu nanti atas sebab-sebab tertentu.

“Namun, semangat mereka berdua akan tetap saya bawa bagi memastikan kemenangan berpihak kepada saya kali ini untuk merebut tali pinggang kuda merah,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Rekod kerjaya anak keempat daripada 10 beradik itu sebagai petinju merangkumi 63 kemenangan daripada 75 perlawanan.

Tidak hanya beraksi di pentas tempatan, petinju berasal dari Negeri Jelapang Padi itu juga pernah mewakili negara di kejohanan dunia di Abu Dhabi dan Thailand.

Kongsi Apizat, dirinya kini sedang mempergiat latihan dengan memperuntukkan masa selama lima hingga enam jam sehari sebagai persediaan menjelang Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Antarabangsa yang bakal berlangsung pada 24 dan 25 Februari ini.

“Saya membuat lebih banyak persediaan dan mengatur beberapa strategi bagi menampilkan kelainan dalam perlawanan kali ini.

“Ini kali pertama saya berlawan dengan Amin Apollo, saya rasa kami masing-masing ada skil tersendiri, namun dengan persediaan dan latihan secukupnya, Insya-ALLAH saya akan pastikan kemenangan menjadi milik saya,” ujarnya yang akan mewakili kelab Black Owl Muaythai Gym untuk kejohanan nanti.

Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Antarabangsa kali ini menyaksikan seramai 28 petinju termasuk tiga dari Thailand bakal berentap di Stadium Titiwangsa bagi merebut kejuaraan.

Setiausaha Kehormat Muay Thai Kuda Merah, Muhammad Firdaus Yaacop berkata, kejohanan kali ke-70 itu diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023.

Menurutnya, perlawanan itu akan melibatkan pertembungan antara petinju dari Malaysia dan Thailand bagi merebut 10 tali pinggang kejuaraan, antaranya Tali Pinggang Sinar Harian, Tali Pinggang Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Tali Pinggang Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.