Waspada taktik licik sindiket jenayah scam

Pelbagai cara dan modus operandi digunakan sindiket berkenaan untuk mengaut duit mangsa sehingga kosong.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Pelbagai cara dan modus operandi digunakan sindiket berkenaan untuk mengaut duit mangsa sehingga kosong.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

KES penipuan dalam talian dilihat semakin menjadi-jadi.

Pelbagai cara dan modus operandi digunakan sindiket berkenaan untuk mengaut duit mangsa sehingga kosong.

Trend penipuan yang mudah dan pantas dikesan semakin aktif, sekali gus merunsingkan orang ramai.

Antara jenis penipuan ialah scam tawaran pekerjaan, Macau Scam, Love Scam, scam pelaburan, scam wang dari pihak luar dan sebagainya.

Aspek kesedaran kepada orang ramai tentang modus operandi terkini sindiket scam adalah usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa.

Kerugian yang dialami bukan sahaja memberi impak negatif ke atas ekonomi negara malah boleh menjadi pencetus kepada masalah sosial secara umumnya.

la juga mendatangkan masalah kepada individu atau keluarga daripada aspek kewangan yang turut menjejaskan kesihatan mental serta emosi mereka yang terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, jenayah kewangan melibatkan penipuan atas talian yang dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menggariskan tujuh bentuk jenayah utama iaitu belian atas talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau Scam, African Scam, pintasan emel dan penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selain itu, aktiviti jenayah siber lain yang aktif menjerat mangsa ialah sindiket pinjaman tidak wujud yang menggunakan medium media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Wechat, Instagram dan sebagainya untuk mengiklankan tawaran pinjaman dengan jaminan kelulusan yang pantas serta syarat yang mudah.

Sindiket akan berurusan dengan mangsa secara dalam talian dan meminta pelbagai dokumen, seterusnya memperdaya mangsa untuk membuat pelbagai pembayaran seperti yuran proses, guaman, insurans dan sebagainya.

PDRM menjangkakan di masa hadapan, sindiket akan meneruskan modus operandi yang sama tetapi lebih menyasarkan golongan muda iaitu pelajar dan belia bagi memperdaya mereka dalam urusan pinjaman wang dan juga sindiket akaun keldai.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, kaedah menakutkan mangsa antara taktik digunakan sindiket penipuan dalam talian terutamanya Macau Scam untuk memerangkap mangsa.

Katanya, sindiket bijak bermain dengan psikologi menjadikan mangsa tidak mempunyai ruang untuk mengelak daripada terpedaya.

Ujar Victor, penipuan dalam talian ini memberikan kesan yang amat besar sehingga ada di antara mangsa sanggup menggadaikan nyawa kerana terlalu kecewa.

Jenayah siber ini sifatnya amat kejam dan ia langsung tidak memilih mangsa, sehingga ada kes yang nekad mengambil nyawa sendiri namun sempat dihalang setelah mendapat nasihat.

Kesedaran berkaitan jenayah siber ini seharusnya dimulakan sejak peringkat awal, dan penulis harap ia dapat didedahkan seawal usia kanak-kanak bagi membina satu benteng kesedaran yang kukuh berkaitannya.

Justeru, bagi membendung kes-kes jenayah ini daripada terus berleluasa, PDRM telah bekerjasama dengan institusi perbankan dalam memastikan siasatan, khususnya melibatkan penggunaan keldai akaun dapat dilengkapkan dengan lebih cepat.

JSJK turut menyediakan beberapa platform bagi memudahkan masyarakat berinteraksi dengan pihak polis untuk sebarang pertanyaan, aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan jenayah komersial.

Dalam pada itu, kerajaan digesa segera meminda Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dalam mengekang kegiatan jenayah terancang termasuk jenayah komersial didalangi sindiket penipuan yang dilihat kini semakin berleluasa.

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan, berkata pada masa ini, PDRM berdepan banyak kekangan untuk mendapatkan bukti-bukti bagi menyabitkan jenayah berkenaan seterusnya membawa dalang ke muka pengadilan.

Katanya, dalang utama sindiket penipuan ini biasanya terlepas dan gagal dibawa ke mahkamah atas kekurangan keterangan serta bukti yang boleh mengaitkan mereka dengan jenayah berkenaan.

Maka jika ada undang-undang pencegahan seperti POCA yang mana ia perlu diwujudkan semula dalam memastikan rakyat Malaysia selamat daripada sindiket-sindiket penipuan.

Kesimpulannya, semua pihak harus memainkan peranan sewajarnya dalam membanteras jenayah siber sehingga ke akar umbi.

* Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah