Liga Super 2023: Kelantan selesa dilabel bukan pilihan

Norizam (lima, kiri) bersama barisan para pemain Kelantan sempena Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Liga Super TRW Kelantan FC serta Barisan Jurulatih TRW Kelantan FC 2023 di Stadium Sultan Muhamad IV, pada Ahad.
Norizam (lima, kiri) bersama barisan para pemain Kelantan sempena Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Liga Super TRW Kelantan FC serta Barisan Jurulatih TRW Kelantan FC 2023 di Stadium Sultan Muhamad IV, pada Ahad.
A
A
A

KELANTAN FC lebih selesa sebagai pasukan 'underdog' pada saingan Liga Super walaupun mengeluarkan perbelanjaan besar dalam mempersiapkan pasukan termasuk mengikat sembilan pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, skuad itu juga meletakkan sasaran untuk berada pada kedudukan 10 pasukan terbaik Liga Super musim ini.

"Musim ini Kelantan FC menggunakan kesemua kuota sembilan pemain import. Kita akan mengumumkan dua lagi pemain import bagi melengkapkan kuota pemain terbabit.

"Saya boleh pastikan pasukan sudah 99 peratus lengkap untuk sepak mula pada Sabtu nanti dengan 50 peratus khidmat muka baharu bersama pasukan musim ini," katanya selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.

Pada musim ini, Kelantan FC akan menggunakan warna merah hitam sebagai jersi rasmi di tempat sendiri dan oren serta ungu sebagai jersi di tempat lawan.

Mengulas lanjut, Norizam berkata bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia beliau meletakkan sasaran suku akhir.

"Kalau boleh mahu juara, siapa yang tidak mahu menjadi juara namun bagi saya kita sasarkan bersesuaian dengan keadaan kita (pasukan) pada masa ini.

"Saya yakin Kelantan akan menjadi antara pasukan yang memberi saingan sengit kepada pasukan lain musim ini," katanya.