Sinar baharu buat generasi kedua Felda

Azjuriyahati (lima dari kiri) bersama sebahagian daripada generasi kedua Felda di Maran.
Azjuriyahati (lima dari kiri) bersama sebahagian daripada generasi kedua Felda di Maran.
A
A
A

INISIATIF Lembaga Perumahan Hartanah Pahang (LPHP) dengan kerjasama KMDI Holding dalam menyiapkan 1,850 unit Rumah Pahang disambut gembira generasi Felda.

Pengarah Urusan KMDI, Datuk Azjuriyahati Azlan berkata, oleh sebab itu pihaknya akan memastikan kediaman yang dahulunya dikenali sebagai rumah generasi kedua Felda disiapkan mengikut perancangan ditetapkan.

“Apa yang penting tiada kompromi dari segi kualiti rumah yang bakal mereka duduki,” katanya selepas menyampaikan taklimat kepada bakal pembeli Rumah Pahang di Dewan Semai Bakti Jengka 11 baru-baru ini.

Menurutnya, selain 180 unit di Jengka 11, rumah-rumah yang gagal disiapkan sebelum ini termasuklah di Felda Bukit Sagu Kuantan, Keratong 7 Rompin, Jengka Satu, Jengka 12, Jengka Enam, Felda Kampung Awah, Felda Bukit Tajau, Felda Kota Gelangi dan Felda Sungai Rentang.

“Kos keseluruhan nilai projek menelan RM200 juta. Ini disebabkan kebanyakan rumah yang perlu disiapkan telah terbengkalai sejak 12 tahun,”ujarnya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif LPHB, Ismayati Ismail bersyukur kerana menerusi siri jelajah penerangan sambutan peneroka khususnya generasi muda Felda amat baik.

“Kita yakin KMDI sebagai pemaju mampu menyiapkan rumah mengikut waktu yang ditetapkan. Dengan wujudnya Skim Jaminan Kredit (di bawah Kementerian Kewangan) saya yakin masalah kekangan pembiayaan kepada pembeli akan dapat diatasi.

“Bagaimanapun kita masih mengekalkan syarat hanya mereka yang berpendapatan RM5000 (suami dan isteri) dan ke bawah sahaja yang akan dipertimbangkan untuk memiliki rumah,” katanya.