Perhilitan tangkap harimau kumbang jantan

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Perhilitan berjaya menangkap harimau kumbang ketiga di Gerik pada Sabtu. - Foto: Twitter Perhilitan
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Perhilitan berjaya menangkap harimau kumbang ketiga di Gerik pada Sabtu. - Foto: Twitter Perhilitan
A
A
A

GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap harimau kumbang ketiga dalam tempoh seminggu di Kompleks Perikanan Darat Banding di sini pada Sabtu

Perhilitan dalam satu kenyataan memaklumkan tangkapan itu dilakukan sekitar jam 8.30 malam susulan operasi yang dilaksanakan di lokasi sama harimau kumbang kedua ditangkap Rabu lalu.

"Harimau kumbang jantan itu berada dalam keadaan baik dan stabil sepanjang operasi tangkapan dijalankan.

"Mamalia berkenaan telah selamat dilepaskan ke habitat yang sesuai dengan bantuan kakitangan daripada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.

Perhilitan turut meminta orang ramai yang menyalurkan aduan berkaitan hidupan liar di talian 1-800-88-5151 atau menghubungi Jabatan Perhilitan berhampiran.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan kejayaan Perhilitan menangkap dua harimau kumbang dalam operasi yang dilaksanakan sejak 11 Januari lalu.