Aplikasi digital: Mudahkan urusan guru bukan tambah tekanan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon agar prasarana digital di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mampu membantu memudahkan urusan guru dan bukannya memberikan lagi tekanan.

NUTP dalam kenyataan pada Ahad berharap bahagian data dan maklumat di KPM dapat mengawal dengan lebih serius sebarang aplikasi atau sistem baharu yang diwujudkan sama ada di peringkat bahagian-bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Pastikan prasarana digital benar-benar mantap dan mampu menampung keperluan warga KPM yang besar. Guru tidak mahu lagi tertekan dengan aplikasi pendigitalan. Sepatutnya penggunaan aplikasi tersebut membantu guru dalam melaksanakan tugas serta memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya memberikan tekanan emosi yang melampau kepada guru-guru," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan NUTP menyokong tujuh langkah yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam menangani beban dan tekanan warga pendidik pada Jumaat lepas, yang merupakan usaha murni untuk membantu guru.

"Langkah tersebut juga untuk meningkatkan kesejahteraan guru dan mengurangkan tekanan dalam kalangan guru serta membantu memperbaiki permasalahan sistem pendidikan di Malaysia.

"NUTP yakin keputusan yang dibuat adalah hasil usaha Menteri Pendidikan dan warga KPM yang telah turun padang dalam mendapatkan maklum balas terus daripada akar umbi. Pihak kami turut mendapat maklum balas positif daripada guru-guru," menurut kenyataan.

Menurut NUTP, Menteri Pendidikan juga telah mengarahkan KPM untuk menyegerakan tujuh langkah tersebut bagi dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024 ini.

Langkah-langkah berkenaan termasuk pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid dan mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

Langkah lain adalah menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelak kesesakan dalam sistem serta pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT).

KPM juga akan mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah, selain menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

Langkah ketujuh adalah memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan. - Bernama