Pelantikan Ruji bukti penghargaan rakyat Sabah

Ruji
Ruji
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyambut baik pelantikan Datuk Ruji Ubi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusi Perhubungan MCCF Negeri Sabah, Datuk Awang Jaafar Wahid berkata, pelantikan itu dianggap sebagai satu pengiktirafan terhadap kemampuan anak tempatan Sabah di peringkat nasional.

Malah katanya, pengiktirafan itu juga membuktikan kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka ruang kepada anak tempatan Sabah untuk menjawat jawatan penting di kementerian kanan negara ini.

"Pelantikan ini jelas membuktikan anak tempatan Sabah juga berkeupayaan, sekali gus menjadi contoh permulaan baik kepada penjawat awam lain di negeri ini.

“Sudah tentu masyarakat di daerah kelahirannya di Tawau berasa bangga kerana Ruji lebih mengenal permasalahan dan isu yang boleh diselesaikan mengikut tatacara perundangan sedia ada.

“Kita di MCCF melihat gandingan antara Ruji sebagai KSU bersama Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution akan mampu melonjakkan imej serta prestasi kementerian ini di masa depan," katanya pada Sabtu.

Awang Jaafar berkata, MCCF tidak melihat pelantikan itu bertujuan mengambil hati orang Sabah tetapi ia diyakini berdasarkan kemampuan serta pengalaman luas Ruji sendiri.

Jelasnya, pemilihan Ruji sebagai KSU adalah tepat dan penempatan beliau di KDN juga suatu keputusan yang bijak.

Menurutnya, anak kelahiran Tawau itu boleh mengangkat martabat semua agensi di dalam KDN ke tahap lebih tinggi dan satu sejarah yang membanggakan rakyat di negeri ini.

"Berdasarkan dengan pengalaman luas beliau ketika menjawat pelbagai jawatan kanan sebelum ini, MCCF yakin Ruji dapat memberikan gambaran yang tepat dan bernas berkaitan isu keselamatan dalam negara khasnya di Sabah.

“Mengikut rekod perkhidmatan Ruji pernah berkhidmat pernah mengetuai pengurusan ESSCOM sebelum bertukar ke jawatan lain. Ini antara faktor utama Ruji mampu menunjukkan prestasi cemerlang berkhidmat di KDN nanti,” ujarnya.