Hadiah kemenangan Cub Prix meningkat hampir 50 peratus

Hannah (dua dari kiri) bersama Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz (kiri) ketika gimik pelancaran perasmian Sambutan Tahun Ke-30 Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix 2023 di sebuah hotel sekitar ibu kota pada Jumaat. - Foto: Bernama
Hannah (dua dari kiri) bersama Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz (kiri) ketika gimik pelancaran perasmian Sambutan Tahun Ke-30 Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix 2023 di sebuah hotel sekitar ibu kota pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

HADIAH wang kemenangan bagi Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 meningkat hampir 50 peratus sempena sambutan edisi ke-30 perlumbaan dua roda itu.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd Ron Hogg berkata, hadiah keseluruhan bagi 10 pusingan musim ini mencecah hampir RM500,000, tidak termasuk bonus kemenangan daripada pasukan.

Beliau berkata, saingan bagi 2023 juga bakal menjadi sengit dengan kehadiran beberapa pasukan baharu, selain penggunaan teknologi fuel injection bagi kelas Wira menjadi jentera kelas nasional ketiga untuk beralih ke teknologi tersebut.

"Kita ada perancangan besar untuk lima hingga 10 tahun akan datang, iaitu kita nak beri lebih banyak peluang kepada pelumba Malaysia untuk pergi ke peringkat antarabangsa. Satu daripada masalahnya sekarang adalah kos, jadi sebaik-baiknya kita boleh beri latihan kepada mereka di Malaysia (menerusi Cub Prix).

"Jadi, apabila mereka pergi ke peringkat lebih tinggi, terus boleh bersaing pada tahap tinggi, kerana tiada siapa melihat ke belakang... perlu sentiasa di atas, jika tidak, penajaan akan kurang," katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan 30 tahun Kejuaraan Cub Prix pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ron berkata, komuniti Cub Prix di Malaysia besar, melibatkan lebih kurang 1,500 pelumba, mekanik, anggota pasukan, marshal dan krew pada satu-satu minggu perlumbaan.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak membantu perlumbaan itu berlangsung sejak 1994 menerusi penajaan daripada pihak swasta, terutamanya Petronas yang menjadi penaja utama selama 20 tahun.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji penganjur yang mampu menjana pendapatan sendiri untuk meneruskan perlumbaan tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan, sesuatu patut dicontohi oleh badan-badan sukan lain.

Yeoh berkata beliau juga telah mengarahkan pihak di kementeriannya untuk mengurangkan karenah birokrasi dalam mendapatkan kelulusan bagi menganjurkan pertandingan sukan.

Perlumbaan Cub Prix musim ini akan bermula dengan pusingan pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Utara pada 25-26 Feb, diikuti perlumbaan di Jempol (11-12 Mac), pusingan ketiga pada 27-28 Mei yang belum ditentukan lokasinya dan SIC Selatan (10-11 Jun).

Perlumbaan kemudian akan bersambung di Litar Lumba Tangkak pada 8-9 Julai, Litar Perlumbaan Terengganu (21-22 Julai), Teluk Intan (2-3 September), Litar Perlumbaan Terengganu (22-23 September) dan Litar Lumba Tangkak (21-22 Oktober), sebelum tamat di Batu Kawan pada 25-26 November. - Bernama