Scammer: Graduan IT digesa waspada dengan tawaran kerja

Zabri ketika sesi dialog Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 pada Sabtu.
Zabri ketika sesi dialog Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Graduan jurusan teknologi maklumat (IT) diingatkan supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran kerja oleh sesetengah pihak.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber CyberSecurity Malaysia (CSM), Mohd Zabri Adil Talib berkata, terdapat sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan untuk merekrut golongan berkenaan bagi melancarkan kegiatan mereka.

Menurut beliau, sindiket berkenaan berupaya mewujudkan aplikasi berkualiti tinggi bagi memperdaya orang ramai menggunakan kemahiran graduan terlibat.

"Kebiasaan kalau tengok sebelum ini, aplikasi mereka memang jelas terdapat banyak kekurangan dari segi corak dan kualiti, namun kini saya boleh cakap tak hairan orang boleh tertipu.

"Apabila polis lakukan siasatan, mereka mendapati sindiket tersebut merekrut pakar IT. Jadi, saya ingatkan kepada graduan, jika ada mana-mana syarikat tawarkan pekerjaan, semak terlebih dahulu," katanya ketika sesi dialog Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Datuk Ahmad Noordin Ismail dan Pengarah Bahagian Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Md Zainizam Mat Jenu.

Mohd Zabri berkata, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memastikan sekuriti penggunaan telefon bimbit dan komputer selalu terjaga.

Katanya, langkah itu termasuk tidak menggunakan sambungan WiFi percuma yang tidak dikenali rangkaiannya.

"Sindiket ini bila kita akses kepada WiFi sahaja mampu untuk mengesan setiap aktiviti dalam peranti kita itu.

"Orang ramai juga diingatkan untuk terlalu mendedahkan seluruh aktiviti harian di media sosial kerana di situ, kita berisiko menjadi sasaran sindiket," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zabri menjelaskan, hubungan antara manusia dan teknologi mengambil masa untuk matang ekoran terdapat banyak perkara membabitkannya.