Pendapatan koperasi cecah RM22.4 bilion

Ewon (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada pengusaha persatuan koperasi sempena Program Memasyarakatkan Koperasi di Pusat Antarabangsa Teknologi dan Komersial (ITCC) Penampang pada Sabtu. - Foto Bernama
Ewon (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada pengusaha persatuan koperasi sempena Program Memasyarakatkan Koperasi di Pusat Antarabangsa Teknologi dan Komersial (ITCC) Penampang pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, bilangan koperasi di Malaysia pada masa ini adalah sebanyak 14,975 dengan jumlah pendapatan mencecah RM22.4 bilion.

Beliau berkata, dengan keanggotaan melebihi tujuh juta, sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran adalah sebanyak RM16.5 bilion dengan penjanaan aset berjumlah RM156.2 bilion.

"Gerakan koperasi telah membangun dengan pesat dan berjaya mengecapi pelbagai kejayaan. Suka saya mengimbau kembali, pada tahun 1922 hanya 11 koperasi didaftarkan dengan bilangan keanggotaan seramai 825 orang, namun pada hari ini, bilangan koperasi di negara ini telah melonjak.

"Pada permulaannya, tujuan utama penubuhan koperasi adalah untuk menyelesaikan masalah petani di luar bandar yang ditindas oleh orang tengah di bawah sistem padi kunca dan masalah keberhutangan kalangan penjawat awam di bandar.

"Kini gerakan koperasi telah menceburi enam sektor ekonomi utama negara seperti sektor perkhidmatan kewangan, pemborongan peruncitan, perladangan, pembangunan hartanah dan industri pembinaan serta pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan. Apa yang lebih membanggakan lagi, sektor koperasi berjaya menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Memasyarakatkan Koperasi 2023 di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Rusli Jaafar.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, menyedari betapa pentingnya sektor koperasi dalam membantu membasmi kemiskinan dan membina ekonomi masyarakat, kementerian akan terus komited meningkatkan kefahaman masyarakat akan fungsi dan konsep koperasi melalui Program Memasyarakatkan Koperasi (Maskop).

"Program Maskop ini merupakan satu daripada inisiatif yang digariskan dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025. Matlamat utama program ini adalah untuk memupuk semangat berkoperasi di samping meningkatkan pengetahuan orang ramai termasuk penjawat awam dan sektor swasta berkaitan koperasi.

"Dalam masa yang sama, program ini juga dijadikan sebagai satu platform untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan gerakan koperasi kepada orang awam.

"Melalui program ini, Kuskop (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) berharap agar mesej untuk membudayakan koperasi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat dapat diperkukuhkan dan menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi," tambahnya. - Bernama