Tiada jaminan Heung-min dalam kesebelasan utama

Heung-min
Heung-min
A
A
A

SON Heung-min tidak akan mendapat sebarang jaminan berada dalam kesebelasan utama Tottenham Hotspur ketika menentang West Ham United pada Isnin selepas tampil dengan aksi mengecewakan musim ini.

Bintang Korea Selatan itu merupakan salah seorang pemain yang menyerlah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu apabila berkongsi Kasut Emas bersama Mohamed Salah selepas menjaringkan 23 gol.

Tetapi pada musim 2022-23, Son hanya mampu menjaringkan empat gol dalam 21 penampilan EPL.

Kekurangan pilihan Spurs di bahagian serangan mungkin telah menyaksian Heung-min berjaya mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama.

Namun, dengan kehadiran semula Richarlison yang kembali cergas berkemungkinan Heung-min akan diletakkan di bangku simpanan.

Penolong jurulatih, Cristian Stellini menegaskan Heung-min kemungkinan akan direhatkan dan menuntut pemain itu bangkit dengan aksi lebih cemerlang sekiranya dimasukkan sebagai pemain gantian.

"Setiap kali anda memilih pasukan, anda perlu meninggalkan seseorang di bangku simpanan.

"Adalah penting juga bahawa beberapa pemain penting kekal di bangku simpanan untuk mereka beraksi cemerlang apabila masuk sebagai pemain gantian.

"Kami mempunyai pengalaman dengan Son, kami mempunyai pengalaman dengan Richarlison dan kami telah berpengalaman dengan Dejan Kulusevski dari bangku simpanan apabila mereka mengubah permainan.

"Ini adalah perkara biasa untuk semua orang, bukan kerana anda mempunyai pemain penting dan dia perlu bermain secara tetap.

"Jika dia perlu bermain kadang-kadang, dia juga perlu berehat kerana kami mempunyai senarai perlawanan yang banyak," katanya.