Mason letak jawatan

Lee Mason
Lee Mason
A
A
A

PEGAWAI video bantuan pengadil (VAR), Lee Mason meletakkan jawatan selepas kesilapannya menyaksikan Arsenal kehilangan dua mata ketika menentang Brentford hujung minggu lalu.

The Gunners terikat 1-1 dalam perlawanan di Emirates Sabtu lalu walaupun gol penyamaan Ivan Toney sepatutnya tidak dibenarkan.

Toney menanduk masuk dari jarak dekat selepas Christian Norgaard yang terlebih dahulu ofsaid telah menghantar bola kepada penyerang Brentford itu.

Gol itu diperiksa oleh VAR dengan Mason yang bertanggungjawab ke atas teknologi tersebut terlepas pandang melihat Norgaard yang ofsaid.

Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), badan bertanggungjawab untuk pengadil di England kemudiannya mengakui ia adalah 'kesilapan yang ketara' dan Mason tidak ditugaskan untuk perlawanan pada hujung minggu akan datang.

PGMOL kemudian mendedahkan pada Jumaat bahawa Mason telah meninggalkan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

"PGMOL boleh mengesahkan bahawa Lee Mason telah meninggalkan organisasi dengan persetujuan bersama.

"Lee adalah pengadil Liga Perdana selama 15 tahun dan menyelia 287 perlawanan liga utama pada masa itu, dengan penampilan terakhirnya pada peringkat musim 2021-22.

"Kerjaya penuhnya dalam perlawanan profesional menyaksikan dia mengendalikan lebih 500 perlawanan.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Lee atas khidmatnya yang berdedikasi dan mendoakan yang terbaik untuknya untuk masa depan."

Ia bukan kesilapan berprofil tinggi pertama Mason pada musim ini apabila turut menafikan kemenangan Newcastle United menentang Crystal Palace pada September lalu.