Berselindung di sebalik ikan hiasan

Anggota penguat kuasa merampas ikan larangan dari sebuah premis di Selangor.
Anggota penguat kuasa merampas ikan larangan dari sebuah premis di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Ikan larangan disyaki diseludup masuk ke dalam negara dengan diisytiharkan sebagai ikan hiasan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bukan itu sahaja, biasanya ia dibawa masuk dalam saiz kecil oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum dijual di premis-premis ikan hiasan.

Malah, kegiatan menjual ikan-ikan terlarang itu juga menggunakan medium media sosial.

Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, ikan larangan itu dipercayai diseludup oleh pihak tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik pengimport ikan hiasan.

“Spesies larangan ini akan diisytiharkan sebagai ikan hiasan tropika yang menyerupai spesies yang dilarang import dari segi bentuk dan warna.

“Ia bersaiz kecil dengan ukuran panjang kira-kira dua hingga tiga sentimeter (sm) bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengikuti operasi khas ikan larangan di sekitar Klang baru-baru ini.

Jelas beliau, ada pemilik atau syarikat yang menjalankan penjualan spesies ikan larangan dengan mengimport bersama-sama konsinan (barang yang dikirim) menerusi syarikat pengimport berdaftar.

“Didapati ada syarikat atau pemilik syarikat yang menjual ikan larangan ini mengimport secara terus dari luar negara tanpa mengisytiharkan spesies yang diimport kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut Noraisyah, menerusi risikan yang dilakukan mendapati terdapat pemilik premis yang tidak akan menjual ikan larangan dengan muda kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya pelanggan yang pernah berurusan atau yang kerap membuat pembelian sahaja dibenarkan.

“Hasil risikan dan perkongsian maklumat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan DOF Selangor mendapati terdapat premis yang mempunyai ruangan atau tangki simpanan khas bagi menyimpan spesies ikan larangan ini.

“Taktik ini digunakan bagi mengelak daripada pengetahuan pihak berkuasa.

“Ruangan ini ditutup kemas dan ada juga pemilik premis yang menjual ikan larangan ini dengan menutup terus ruangan tersebut dan hanya boleh diakses apabila yakin pelanggan yang berurusan adalah boleh dipercayai,” ujarnya.

Noraisyah berkata, selain itu, media sosial turut dijadikan medium untuk menjual ikan larangan tersebut kerana disifatkan lebih mudah dan selamat selain mempunyai akses terus kepada pengguna.

“Ikan larangan seperti peacock bass, flower horn atau lohan dan pelbagai jenis ikan larangan lain mempunyai peminat yang tersendiri.

“Jadi kita dapati terdapat laman-laman khusus di media sosial yang mengumpul peminat pelbagai jenis ikan larangan ini, dan memudahkan penjual menyasarkan terus kepada peminat yang ingin membeli,” ujarnya.

Dipercayai penjual ikan larangan itu juga dikesan mempunyai media sosial sendiri yang mana boleh diakses oleh pelanggan.

“Bagaimanapun, para pelanggan akan ditapis terlebih dahulu sebelum kebenaran untuk mengakses media sosial milik premis atau syarikat terbabit.

“Ini berkemungkinan bagi memastikan pelanggan mereka bukanlah daripada pihak berkuasa,” katanya.

Kesalahan memiliki ikan larangan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Kesalahan memiliki ikan larangan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, antara spesies ikan larangan yang telah dikenal pasti terdapat di dalam ekosistem perairan negeri Selangor ialah arapaima, peacock bass atau ikan raja, pacu, aligator gar atau ikan buaya dan flowerhorn.

Kata beliau, lambakan ikan larangan di perairan sungai negara mengakibatkan ikan asal atau ikan tempatan berkurangan.

Noraisyah berkata, ikan pemangsa yang dibeli itu akan dipelihara sehingga mencapai saiz yang sangat besar dan tidak lagi boleh dipelihara di dalam akuarium, tangki atau kolam serta memerlukan kuantiti makanan yang banyak.

“Keadaan ini membebankan pemilik dan sebagai langkah mudah, mereka akan melepaskan spesies tersebut ke dalam tasik, lombong dan sungai.

“Tindakan ini bukan sahaja mengundang kepada ketidakseimbangan ekosistem malah boleh mengakibatkan kepupusan spesies-spesies ikan tempatan. Ia akan turut menyebabkan sumber pendapatan nelayan darat atau nelayan sungai akan terjejas.

“Perkara ini berlaku apabila spesies ikan larangan ini dilepaskan dengan sengaja dan akan mendominasi sesebuah ekosistem,” katanya.

Serah secara sukarela

Dalam pada itu, beliau berkata, spesies ikan larangan tersebut perlu dikenal pasti sebelum tindakan diambil ketika penguatkuasaan dijalankan.

“Pasukan penguat kuasa perlu teliti dalam menjalankan pengecaman terhadap spesies ikan larangan ini.

“Hal ini kerana terdapat beberapa jenis ikan larangan ini hampir serupa dari segi bentuk dan warna dengan spesies ikan bukan larangan,” katanya.

Ujar beliau, kesukaran turut ditempuhi untuk menjejaki pembeli, syarikat atau premis yang menjual dan memelihara spesies ikan larangan tersebut.

“Ikan larangan yang dikesan ini akan dirujuk kepada spesies ikan larangan di bawah genus (spesies) yang telah diwartakan di dalam Peraturan Peraturan Perikanan (Larangan Import Dsb Bagi Ikan) 1990 Pindaan 2011,” katanya.

Tambah beliau, DOF meminta supaya mana-mana pihak atau individu yang memiliki spesies ikan larangan agar memohon kebenaran secara bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kesalahan memiliki ikan larangan membolehkan seseorang itu dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Ujar beliau, orang ramai pula diingatkan agar tidak melepaskan ikan tersebut ke dalam perairan umum sebaliknya laporkan kepada DOF dan menyerahkan secara sukarela.

Pemilik kedai beri bermacam alasan

“Saya tak tahu ikan ini tidak boleh bela,” kata seorang pemilik kedai ikan hiasan selepas premisnya diserbu DOF Selangor menerusi Ops Ikan Larangan di Klang, baru-baru ini.

Pemeriksaan anggota penguat kuasa mendapati kedai milik individu berumur lingkungan 40-an itu memiliki ratusan jenis ikan larangan pelbagai saiz antaranya peacock bass dan aligator gar.

Pemilik kedai tersebut mendakwa dirinya tidak tahu ikan yang dibela dan dijual itu dikategorikan sebagai ikan larangan.

Dia mendakwa tidak menerima sebarang maklumat atau hebahan menyebabkan dirinya tidak tahu jenis-jenis ikan yang dilarang.

“Saya terkejut apabila pemeriksaan dijalankan mendapati ada ikan yang saya bela ini merupakan ikan larangan, kalau saya tahu saya memang tak akan bela dan jual.

“Ada di antara ikan ini saya bela dan ada di antaranya saya jual, sebab ikan ini dijadikan sebagai ikan hiasan," katanya.

Bagaimanapun, helah yang diberikan individu itu tidak dapat memperdayakan anggota penguat kuasa setelah hasil siasatan dijalankan dan penjual tersebut akhirnya mengakui kesalahan yang dilakukan.

Menerusi operasi yang dijalankan melibatkan tiga premis menjual ikan hiasan di sekitar Klang mendapati pemilik terbabit memiliki dan menjual beberapa jenis ikan larangan kepada orang ramai.

DOF Selangor telah merampas ikan jenis peacock bass dan aligator gar pelbagai saiz dengan keseluruhan nilai sebanyak RM19,950.

INFO

Ancaman Ikan Asing

Ikan Asing Invasif bermaksud sesuatu ikan asing yang telah atau berpotensi menyebabkan ancaman, kerosakan atau kemudaratan kepada ekosistem, dan kepelbagaian biologi asli, ekonomi atau kesihatan ikan dan manusia secara lansung atau tidak lansung akibat dari kemasukan, kewujudan dan penyebarannya.

Spesies akuatik asing berbahaya merupakan isu global kerana ia merupakan isu merentas sempadan yang boleh menyebabkan impak negatif peringkat serantau.

Berupaya untuk memusnah dan mengubah ekosistem yang dicerobohinya hingga mengakibatkan kepupusan spesis tempatan.

Menggugat jaminan makanan dan kemandirian sumber biodiversiti (termasuk kepelbagaian genetik)

Menyebabkan kerugian yang tinggi kepada negara akibat kemerosotan sumber akuatik asli (perikanan tangkapan)