TFC perkenal jersi baharu hadapi saingan musim 2023

TFC kekalkan warna hitam putih (gambar kiri) dengan tambahan warna hitam dan kuning keemasan untuk aksi perlawanan di halaman sendiri, manakala jersi hijau di tempat lawan. - Foto ihsan Facebook Terengganu FC
TFC kekalkan warna hitam putih (gambar kiri) dengan tambahan warna hitam dan kuning keemasan untuk aksi perlawanan di halaman sendiri, manakala jersi hijau di tempat lawan. - Foto ihsan Facebook Terengganu FC
A
A
A

TERENGGANU Football Club (TFC) memperkenalkan jersi baharu pasukan secara rasmi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 yang bakal membuka tirainya menerusi sepak mula menentang JDT pada 24 Februari ini.

Pelancaran jersi baharu itu diadakan secara langsung bersama sesi memperkenalkan pemain dan barisan penaja sempena majlis pelancaran TFC Black & White Day, pada Jumaat.

Pegawai Eksekutif (CEO) TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, skuad itu memilih untuk mengekalkan tema warna hitam putih bagi jersi di halaman sendiri (home) dengan menambah sedikit warna hitam dan warna kuning keemasan.

"Kita juga menambahkan lakaran Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada jersi sebagai menunjukkan ia adalah rumah 'keramat' bagi pemain berlatih dan berentap bersama pasukan lawan sekali gus menaikkan lagi semangat pemain.

"Selain itu, bagi menggambarkan kecintaan peminat kepada pemain, kita turut melakar kata-kata pada (bahagian dalam belakang) jersi dengan harapan mereka terus beraksi dengan cemerlang dalam liga musim ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran di sini pada Jumaat.

Menurut Ab Rasid, bagi jersi di tempat lawan (away) pula, skuad itu menampilkan warna hijau dengan lakaran (grafik) pelantar minyak pada (bahagian dalam belakang) jersi sebagai simbolik kepada hasil bumi Terengganu.

"Ia adalah identiti Terengganu iaitu hasil minyaknya merupakan sumber utama negeri kita. Lakaran pelantar minyak turut dimuatkan bagi membangkitkan semangat.

"Ia sekali gus meningkatkan azam mereka untuk bermain bersungguh-sungguh dan membayar balik dengan kemenangan," ujarnya.

Antara jersi bagi penjaga gol yang ditampilkan untuk saingan Liga Malaysia 2023. - Foto ihsan Facebook Terengganu FC
Antara jersi bagi penjaga gol yang ditampilkan untuk saingan Liga Malaysia 2023. - Foto ihsan Facebook Terengganu FC

Bagi penjaga gol pula, warna hitam gelap dipilih bagi menggambarkan warna rasmi bendera selain warna pink cerah yang turut diletakkan peta setiap daerah yang ada dalam negeri Terengganu.

"Setiap daerah mempunyai mercu tanda misalnya Hulu Terengganu terkenal dengan Tasik Kenyir dan ada (mercu tanda) yang dipaparkan pada jersi tersebut," katanya.

Difahamkan jersi baharu TFC pada musim itu kini dibuka untuk tempahan dengan harga pasaran RM129 sehelai.