Bomba digigit beruang matahari tidak serik berkhidmat

Dr Mohammed Azman (tengah) melihat keadaan tangan Mohd Nizam Hamid sambil disaksikan Sayani (kanan) ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 11, Bukit Besar, Kota Sarang Semut pada Jumaat.
Dr Mohammed Azman (tengah) melihat keadaan tangan Mohd Nizam Hamid sambil disaksikan Sayani (kanan) ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 11, Bukit Besar, Kota Sarang Semut pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Anggota bomba bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan tidak serik walaupun cedera selepas digigit beruang matahari dalam insiden di Kampung Kabu Sepuluh, Selengkoh Tengah, Yan pada 2 Februari lepas.

Mohd Nizam Hamid, 27, yang mengalami kecederaan pada salur darah tangan kirinya itu ketika cuba mengepung beruang matahari betina seberat 90 kilogram yang sesat dalam satu operasi tangkapan dijalankan pelbagai agensi.

Sebaliknya, dia menyifatkan kejadian terbabit akan menjadi pembakar semangat kepada dirinya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kebombaan.

"Ini kali pertama saya berdepan situasi sebegini, apabila diterkam seekor beruang di kawasan sawah ketika operasi menangkapnya. Ia berlaku dalam beberapa saat, beruang itu gigit sekejap sahaja.

"Namun, saya tidak patah semangat dan akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh. Lagipun, ini antara cabaran kerja saya," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Batu 11, Bukit Besar, Kota Sarang Semut pada Jumaat.

Sebelum itu, Mohd Nizam menerima bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Kedah, Rafidah Abdul Rahim.

Mohd Nizam berkata, dia terharu dan berterima kasih atas bayaran faedah Perkeso diterima selepas mengalami kecederaan akibat diserang beruang matahari pada awal Februari itu.

Menurutnya, dia kini masih perlu menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut dan Hospital Yan sekali gus akan menggunakan wang diterima itu untuk kegunaan dirinya.

Sementara itu, Dr Mohammed Azman memberitahu, Mohd Nizam merupakan Orang Berinsurans Sendiri (OBS) yang telah mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pada 29 September 2022 di bawah Perkhidmatan Sokongan yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.

Azman berkata, OBS didapati mengalami kecederaan serius pada bahagian pergelangan tangan kiri ketika menjalankan operasi mengawal dan menghalang seekor beruang matahari liar bersama beberapa anggota bomba lain di kawasan sawah padi kira-kira jam 10.30 pagi di Kampung Batu 10 Selengkoh Tengah, Sungai Limau, Yan pada 2 Februari lepas.

"Ketika sedang menjalankan tugas, beruang tersebut telah bertindak agresif lalu mengejar Mohd Nizam dan dia cuba menyelamatkan diri namun telah terjatuh di sawah padi.

"Beruang berkenaan telah menerkam dan menggigit pergelangan tangan kiri OBS dan mengakibatkan kecederaan serius di bahagian pergelangan tangan kiri. OBS telah dibantu oleh anggota lain dan telah dibawa ke Hospital Yan bagi menerima rawatan pertama dan OBS telah dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi menerima rawatan lanjut,"katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohammed Azman berkata, OBS telah diberikan cuti sakit bermula dari 2 Februari lalu hingga Isnin depan dan kini masih menjalani rawatan susulan.

Menurut beliau, Skuad Prihatin Perkeso bertindak pantas apabila menerima maklumat berkaitan kejadian menimpa OBS dan Mohd Nizam kini menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara daripada Perkeso bermula tarikh 2 hingga 15 Februari 2023.

"Sekiranya, OBS memerlukan rawatan perubatan atau sebagainya juga akan ditanggung di bawah Skim Bencana Pekerjaan Sendiri dan selepas ini, sekiranya Mohd Nizam memerlukan rawatan pemulihan juga dia akan dibawa kepada panel pemulihan Perkeso dan penilaian lain bersesuaian," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, Mohd Nizam adalah seorang pegawai bomba bantuan (PBB) yang mengalami kecederaan semasa melakukan operasi penangkapan beruang matahari pada awal Februari lalu.

Beliau berkata, JBPM sememangnya mementingkan aspek kebajikan kakitangan sekali gus turut menyalurkan bantuan kepada Mohd Nizam.

Beliau menjelaskan, pihaknya turut mengambil inisiatif dengan memastikan setiap PBB yang dilantik jabatan itu disyaratkan untuk mencarum dengan Perkeso.

Sayani menyifatkan inisiatif memastikan anggota bomba mencarum tanpa gagal disifatkan bertepatan apabila pencarum menerima faedah apabila berdepan kejadian tidak diduga.

"Sehingga kini, lebih kurang 156 anggota PBB telah mencarum dengan Perkeso,dan kita akan memastikan mereka mencarum tanpa gagal," katanya.