Bank Rakyat anjur Karnival Rumah Impian

Karnival Rumah Impian yang dianjurkan oleh Bank Rakyat akan memberikan manfaat kepada mereka yang mahu membeli rumah.
Karnival Rumah Impian yang dianjurkan oleh Bank Rakyat akan memberikan manfaat kepada mereka yang mahu membeli rumah.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Rakyat menganjurkan Karnival Rumah Impian selama tiga hari bertempat di Hall 2, iOi Grand Exhibition and Convention Centre, Putrajaya bermula 17 hingga 19 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, karnival itu dianjurkan sebagai inisiatif untuk menggalakkan pemilikan rumah sendiri dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan pembeli rumah kali pertama.

Menurutnya, karnival itu akan melibatkan sebanyak 20 pemaju hartanah terkemuka serta agensi kerajaan termasuk Perbadanan PR1MA Malaysia, Sime Darby Property Berhad, MKH Berhad, Titijaya Land Berhad, S P Setia Berhad dan UEM Sunrise Berhad.

“Orang ramai dijemput hadir karnival ini, khususnya kumpulan sasaran yang menghadapi dilema untuk membeli rumah idaman mereka agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan termasuk pelbagai pilihan jenis kediaman dengan harga mampu milik serta promosi dan tawaran menarik daripada Bank Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pada masa yang sama, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan turut disediakan sepanjang Karnival Rumah Impian berlangsung, termasuk program cabutan bertuah Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat, perkhidmatan cucian emas, pameran kenderaan nasional, pertandingan mewarna dan permainan realiti maya.

“Mereka yang hadir ke karnival ini perlu memanfaatkan tawaran kadar keuntungan yang lebih rendah dengan kemudahan penyusunan semula pembiayaan mereka melalui pembiayaan semula atau ‘refinance’ bagi mengurangkan komitmen bulanan sedia ada.

“Walaupun kadar dasar semalaman (OPR) berubah-ubah berdasarkan persekitaran ekonomi domestik, sektor hartanah dijangka akan masih mengekalkan nilainya dalam jangka masa panjang”, ujar Dr Mohammad Hanis.

Dr Mohammad Hanis turut menasihatkan kumpulan sasaran untuk meneroka segmen perumahan di pasaran sekunder atau ‘subsale’.

“Pembeli hartanah subsale ini juga tidak perlu memikirkan mengenai risiko rumah lambat siap atau isu terbengkalai kerana ia sudah siap dibina.

“Orang ramai boleh mengunjungi Karnival Rumah Impian anjuran Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian rumah baharu, subsale atau pun ‘refinance’ menerusi pakej Pembiayaan Perumahan-i Bank Rakyat,” katanya.

Dr Mohammad Hanis berkata, Bank Rakyat turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM120,000 kepada pelanggan yang melanggan Pembiayaan Perumahan-i Bank Rakyat sepanjang 16 Januari hingga 30 April 2023.

“Menerusi kempen ini, pemenang tempat pertama bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000, manakala bagi pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi wang tunai berjumlah RM40,000 dan RM30,000,” katanya.

Karnival itu diadakan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.