Shafie dituntut lapor SPRM jika benar dakwaan ADUN 'dibeli'

Mohd Shafie - Foto Bernama
Mohd Shafie - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diminta melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika beliau mempunyai bukti berkaitan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu telah 'dibeli'.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sepatutnya Datuk Seri Mohd Shafie menyalahkan dirinya serta parti yang dipimpinnya apabila beberapa ADUN keluar daripada Warisan.

"Mereka yang keluar parti bertindak sedemikian sebab Warisan tidak lagi sesuai menjadi platform memperjuangkan hak-hak dan membela rakyat kerana pemimpin utama parti itu lebih gemar menimbulkan polemik dan ketidakstabilan politik yang hanya menyusahkan rakyat dan mengganggu agenda kerajaan membangunkan negeri ini.

"Dakwaan Datuk Seri Mohd Shafie bahawa ADUN Warisan keluar parti kerana dibeli bukan sahaja cerita fitnah tetapi politik murahan yang cuba memalitkan imej negatif kepada kerajaan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Nizam lagi, ucapan Datuk Seri Mohd Shafie di Parlimen baru-baru ini yang membuat tuduhan dengan cerita dongeng bahawa wakil rakyat Warisan keluar parti kerana telah dibeli oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengesahkan sikapnya sendiri.

"Jika beliau mempunyai bukti ADUN dibeli sepertimana dakwaannya, maka laporlah pada SPRM dan bukannya hanya membuat dakwaan retorik akibat kelemahannya sendiri lalu menyalahkan orang lain.

"Sepatutnya Datuk Seri Mohd Shafie bermuhasabah diri bahawa kepimpinan beliau bukan sahaja ditolak oleh ADUN dari partinya sendiri tetapi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu mendapati parti itu telah semakin ditolak rakyat apabila gagal mempertahankan lima kawasan Parlimen yang disandangnya semasa PRU14 lalu termasuklah kekalahan teruk Timbalan Presiden dan Ketua Penerangan parti itu, " ujarnya.

Sebelum itu, dalam sidang Parlimen pada Rabu, Mohd Shafie mendakwa bahawa tiga ADUN Warisan telah 'dibeli' dan meminta SPRM menyiasat perkara itu.