Cari mekanisme naikkan harga lantai getah RM4 sekilo

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mencari mekanisme untuk menstabilkan harga getah dan meletakkan harga lantai getah sekurang-kurangnya RM4 sekilogram berbanding harga semasa RM2 hingga RM2.50 sekilogram.

Zahari Kechik (PN-Jeli) berkata, ia bagi membantu kebajikan penoreh getah khususnya mereka yang menjadikan tanaman komoditi sebagai sumber pendapatan terutamanya rakyat di kawasan pedalaman.

"Harga getah pernah melambung tinggi suatu ketika dahulu lantaran permintaan tinggi oleh negara pengguna. Namun pada hari ini, kita semua sedar permintaan terhadap getah asli jatuh merudum disebabkan perkembangan getah sintetik.

"Situasi ini menimbulkan kerisauan dan menyukarkan penoreh getah, pekebun kecil untuk melepasi kelangsungan hidup yang menekan dengan kos hidup semakin tinggi,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata, keadaan cuaca tidak menentu turut menyebabkan kekerapan menoreh hanya 16 hari sebulan dan jika dikira setahun, hanya enam bulan mereka keluar menoreh.

"Kita sedia maklum, kerajaan ada membantu mereka melalui bantuan musim tengkujuh iaitu RM800 setahun dan dengan jumlah ini kita dapat bayangkan bagaimana sukarnya penoreh getah meneruskan kehidupan,” katanya. - Bernama