Gara-gara perselisihan faham, penghantar barang maut dilanggar

Asisten Komisioner Cha Hoong Fong
Asisten Komisioner Cha Hoong Fong
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Gara-gara menampar seorang individu akibat perselisihan faham di sebuah kafe, seorang penghantar barangan maut dilanggar sebelum diseret dengan sebuah kenderaan dalam kejadian di Bandar Botanik Klang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berkaitan seorang lelaki tempatan yang dibawa ke bahagian kecemasan hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana telah dilanggar oleh kenderaan kira-kira jam 6.30 pagi.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudiannya disahkan meninggal dunia.

"Siasatan dijalankan mendapati mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis BMW secara sengaja.

"Kereta itu kemudian menyeret mangsa lebih kurang 40 meter sebelum melarikan diri," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, siasatan mendapati berlaku perselisihan antara suspek dan rakannya bersama mangsa di sebuah kafe sebelum kejadian.

"Polis telah mengenal pasti dua individu terlibat dalam kejadian yang merupakan dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 33 dan 24 tahun.

"Usaha memburu kedua-dua suspek ini sedang giat dijalankan," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.