Penjawat awam beri rasuah RM7,000 ditahan SPRM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Beluran kerana memberi rasuah RM7,000 kepada seorang pengadu sebagai dorongan untuk menarik balik laporan polis yang dibuat.

Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan pada Khamis.

Menurut sumber, suspek yang bertugas di Sandakan telah disiasat polis mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan kes samun berkumpulan.

Bagaimanapun, pada 30 Oktober tahun lalu, suspek kemudian menawarkan serta memberikan wang RM7,000 kepada pengadu sebagai dorongan supaya laporan polis berkenaan ditarik balik.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

"Suspek ditahan hari ini (Khamis) dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

"Suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 berserta deposit RM1,000 dengan seorang penjamin," katanya.

Karunanithy berkata, suspek dijadualkan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam masa terdekat.