Hannah ucap tahniah kejayaan Sivasangari

Sivasangari dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Ivy League di AS buat kali kedua berturut-turut pada Rabu. - Foto Instagram Sivasangari
Sivasangari dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Ivy League di AS buat kali kedua berturut-turut pada Rabu. - Foto Instagram Sivasangari
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada pemain skuasy wanita nombor satu negara, S Sivasangari yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Ivy League di Amerika Syarikat (AS) buat kali kedua berturut-turut pada Rabu.

“Tahniah kepada pemain skuasy negara, S Sivasangari,” catat Hannah di Facebooknya pada Khamis.

Beliau turut berkongsi berita mengenai pencapaian pemain yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.

Berita mengenai pemain yang berpangkalan di AS itu disiarkan di laman web rasmi Universiti Cornell, tempat dia melanjutkan pengajian dan berlatih.

Meskipun tidak beraksi pada musim luruh, Sivasangari berjaya mencatatkan rekod kemenangan 9-0 pada musim bunga sekali gus melebarkan rekod kemenangannya kepada 27 perlawanan sejak permulaan musim 2019/2020.

Sivasangari yang menghuni ranking ke-20 dunia turut dipilih secara sebulat suara dalam pasukan All-Ivy League bersama rakan senegara dan seuniversiti, Lai Wen Li.

Ia merupakan pencapaian kali kedua berturut-turut buat kedua-dua pemain berkenaan.

Tahun lalu, atlet berusia 24 tahun itu memahat sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Universiti Cornell yang memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Ivy League.

Ivy League adalah persidangan sukan bagi kolej-kolej AS, yang terdiri daripada universiti yang berprestij dan terpilih seperti Harvard, Yale, Princeton dan Columbia.