93 ventilator tak boleh guna, kerajaan rugi RM13.07 juta

Nik Azman
Nik Azman
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 93 daripada 136 unit ventilator yang dibekalkan syarikat kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika pengurusan wabak Covid-19 antara tahun 2020 hingga April 2021 tidak dapat digunakan.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, menerusi semakan audit mendapati keadaan itu mengakibatkan kerugian berjumlah RM13.07 juta.

Menurut beliau, audit yang dijalankan turut mendapati sejumlah RM145.37 juta baki peruntukan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) masih belum dipulangkan oleh dua kerajaan negeri.

"Terdapat kelemahan dalam aspek pengurusan program yang perlu diberi perhatian melibatkan sejumlah RM145.37 juta baki peruntukan dana KWAN masih belum dipulangkan oleh kerajaan negeri sehingga April 2022.

"Sebanyak 93 unit ventilator yang dibekalkan oleh syarikat kepada fasiliti KKM tidak dapat digunakan dan ini menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM13.07 juta," katanya ketika sesi taklimat kepada media mengenai Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2021 Siri 2 pada Khamis.

Dalam pada itu, Nik Azman berkata, dua negeri yang belum mengembalikan dana berkenaan adalah Selangor dan Sabah, yang sepatutnya dipulangkan selepas program itu tamat pada Oktober 2022.

Justeru katanya, perbincangan mengenai perkara berkenaan sedang dijalankan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, audit yang dilakukan terhadap aktiviti KKM turut mendapati terdapat lebihan alat pelindungan peribadi (PPE) yang ketara dengan nisbah penggunaan antara 2.2 peratus dan 3.1 peratu, masing-masing membabitkan sarung kasut dan sut PPE.

Jelas Nik Nazmi, malah berbaki sebanyak 3.08 juta pasang sarung kasut dan 840,000 helai sut PPE.

“Penggunaan ventilator di wad blok selatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut menunjukkan penggunaan gas oksigen telah melebihi had penggunaan dan memberi kesukaran perawatan di wad hospital itu.

“Bilangan jururawat sedia ada yang ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi semasa tempoh pandemik juga tidak mencukupi dan menimbulkan kesulitan terutamanya apabila terdapat jururawat yang bercuti kuarantin,” ujarnya.