Benzema penjaring kedua terbanyak Real

Benzema menyumbang dua gol menerusi sepakan penalti ketika menentang Elche di Santiago Bernabeu pada awal pagi Khamis.
Benzema menyumbang dua gol menerusi sepakan penalti ketika menentang Elche di Santiago Bernabeu pada awal pagi Khamis.
A
A
A

KARIM Benzema mengatasi rekod Raul sebagai penjaring gol kedua terbanyak Real Madrid ketika kemenangan 4-0 ke atas Elche dalam saingan La Liga pada awal pagi Khamis.

Benzema kini merekodkan 230 gol di pentas La Liga daripada 428 penampilan selepas menyumbang dua gol dalam aksi di Santiago Bernabeu itu.

Raul sebelum ini turun menjaringkan 228 gol dalam 550 perlawanan La Liga dan menyaksikan Benzema berjaya memintasnya ketika dia beraksi kurang 122 perlawanan.

Pengendali Real, Carlo Ancelotti memuji 'aksi sempurna' Benzema yang kini berada di belakang Cristiano Ronaldo selaku penjaring terbanyak Real dengan 311 gol daripada 292 penampilan La Liga.

"Karim Benzema bukan sekadar seorang penyerang. Dia mempunyai pakej yang lengkap, sudah tentu Real Madrid mahukan dia pada tahap ini.

"Hari ini, dia bergabung baik dengan Rodrygo. Dia sentiasa bersedia di kawasan dan banyak membantu kami dalam penguasaan bola," katanya.

Gol menarik Marcos Asensio memberikan Real pendahuluan awal sebelum Benzema menggandakan kelebihan Los Blancos selepas 30 minit menerusi sepakan penalti.

Benzema kemudiannya menjaringkan gol La Liga ke-230 apabila sekali lagi berjaya menyempurnakan sepakan penalti keduanya sebelum Luka Modric mengesahkan kemenangan Real dengan gol keempat.