DJ KJ: Hot FM rekod peningkatan 75 peratus pendengar

Tangkap layar Instagram stories Khairy. Gambar kecil: Khairy Jamaluddin
Tangkap layar Instagram stories Khairy. Gambar kecil: Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Penglibatan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai penyampai stesen radio Hot FM pada hari pertamanya berjaya merekodkan peningkatan sebanyak 75 peratus pendengar dalam tempoh sejam menerusi siaran langsung digital platform berkenaan.

Media Prima Audio (MPA) dalam kenyataan memaklumkan bahawa laman web stesen radio tersebut berjaya mencapai 139 peratus peningkatan paparan halaman unik bagi pelayar yang mengakses segmen yang dikendalikan bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

"Khairy dengan pantas membuktikan dirinya mampu melakukan pelbagai pekerjaan selain menjadi ahli politik.

“Perwatakan beliau yang peramah dan mudah didekati menarik perhatian pendengar dengan video yang dimuat naik di laman sosial mengenai dirinya akan bertugas di Hot FM.

"Khairy juga meminta orang ramai mencadangkan topik menarik untuk dibincangkan ketika ke udara yang mendapat maklum balas positif. Peminat seronok kerana Khairy bersifat terbuka,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Tangkap layar komen netizen di media sosial pada Rabu
Tangkap layar komen netizen di media sosial pada Rabu

Sebelum ini, dilaporkan, kemunculan Khairy sebagai penyampai Hot FM adalah untuk memberi keseimbangan kepada slot Bekpes Hot dengan membincangkan topik serius dan menyampaikan maklumat menarik untuk dikongsi bersama pendengar.

Kemunculan pertama KJ itu turut mendapat respon positif dalam kalangan masyarakat di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Salah seorang pemilik akaun Instagram, norshidahbthashim berkata, dia sanggup tukar saluran radio semata-mata untuk mendengar suara Khairy pada hari ini.

“Rating (kadar rekod) tinggi HotFM. Tahniah Yang Berhormat, mana tuan pergi mesti ada ramai yang ikut sebab nak tahu perkembangan bakal pemimpin nombor satu Malaysia dan dunia.

“Begini lah perjalanan pemimpin yang hebat, hari ini jatuh ke tempat yang paling bawah, sebenarnya ALLAH sedang menguji kerana Dia hendak meletakkan kamu di tempat paling atas dan paling mulia,” katanya dalam ruangan komen di Instagram pada Rabu.

Dalam pada itu, pemilik akaun Facebook bernama Awang Tuah berkata, Khairy bukan sahaja mempunyai peminat malah serba berbakat pelbagai industri.

“Hebat mantan menteri DJ radio yang julung kali seorang pemimpin besar berbuat demikian. KJ memang orang serba boleh.

“Beliau ramai peminat semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, pengguna akaun Twitter, @faliqauri turut memuji tindakan Khairy yang keluar dari zon selesanya sebagai ahli politik dan menceburi dalam industri hiburan.

"Hidup tidak selalunya serius. Kadang-kadang kita hanya perlu dilayan dan dilayan,” jelasnya.