Menu Rahmah dilaksana di R&R Plus - Nanta

Alexander Nanta Linggi - Foto Bernama
Alexander Nanta Linggi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5, akan dilaksanakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya PLUS, dalam masa terdekat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan pelaksanaan program yang bakal memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya itu, telah dibincangkan oleh pihak PLUS bersama pengendali gerai makanan di R&R.

"Sebagai tanda sokongan kepada program Menu Rahmah yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, saya hari ini telah mengusulkan kepada pihak PLUS untuk bersama-sama dengan kerajaan, dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"PLUS secara amnya telah bersetuju dengan cadangan ini,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Catatan itu susulan daripada pertemuan beliau bersama kesemua 32 syarikat konsesi serta pihak berkepentingan industri lebuh raya bertol di Malaysia, hari ini.

Nanta berkata, perancangan lebih konkrit akan disediakan pihak PLUS berhubung pelaksanaan program Menu Rahmah itu.

Beliau melahirkan penghargaan kepada pihak PLUS di atas kerjasama yang diberikan dan berharap penyediaan Menu Rahmah di hentian R&R PLUS, akan memberikan manfaat kepada semua pengguna lebuh raya.

Dalam pada itu, Nanta berkata beliau menggunakan kesempatan daripada pertemuan itu, untuk maklum balas secara terus berkaitan pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti di lebuh raya atau Multi Lane Fast Flow (MLFF).

Beliau berkata, secara keseluruhannya semua pemain industri menyambut baik pelaksanaan MLFF, dengan beberapa perkara terkait sistem ini sedang diperhalusi bagi memastikan penyampaian servis terbaik kepada pengguna.

"Perkara ini saya akan kongsikan sedikit masa lagi,” katanya yang turut berkongsi beberapa keping gambar pertemuan tersebut. - Bernama