Peguam Negara akan siasat isu gugur kes bunuh amah, kata Steven Sim

Steven Sim
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara, Tommy Thomas akan menyiasat isu pengguguran kes bunuh pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Sau oleh majikannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tahun lalu, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

SIm dalam satu kenyataan berkata, jaminan itu diberikan Thomas sendiri selepas beliau dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.

"Saya telah menghubungi beliau untuk mendapatkan pejelasan. Peguam Negara telah memberi respons bahawa beliau secara peribadi akan menyiasat dan melihat apa langkah seterusnya.

"Saya percaya Thomas dan sistem undang-undang akan menegakkan keadilan," katanya hari ini.

Tahun lalu, Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam selepas diselamatkan dari rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, dengan pelbagai kesan kecederaan teruk pada kepala, muka serta luka di kedua-dua tangan dan kaki.

Mangsa dikatakan dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing.

Susulan kejadian itu, tiga beranak ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, media melaporkan Mahkamah Tinggi Georgetown membebaskan bekas majikan Adelina, Ambika MA Shan,61 selepas timbalan pendakwa raya meminta dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Mengulas lanjut Sim berkata, negara ini memerlukan undang-undang lebih baik bagi melindungi pekerja asing.

"Eksploitasi terhadap pekerja asing adalah pelanggaran hak asasi manusia dan masalha sosioekonomi yang akan memberi kesan negatif kepada pasaran kerja tempatan jika tidak ditangani.

“Hak asasi setiap manusia mesti dilindungi, tidak kira apa pun kewarganeraannya. Apa yang lebih penting kita mesti memastikan tragedi seperti itu tidak akan berulang di negara kita," katanya.

.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia