Banjir kilat: Dua PPS di Perak ditutup

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Tanjung Malim dan Batang Padang ditutup selepas banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sini sejak tengah malam tadi, pulih sepenuhnya hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muallim, Mohamad Fitri Hassan dalam kenyataan berkata, PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Sungai Sekiah, Batu 7, Behrang yang menempatkan 10 mangsa daripada satu keluarga ditutup pada 9.30 pagi tadi.

PPS berkenaan dibuka pada 11.30 malam tadi bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Sungai Dara.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengerusi JPBD Batang Padang, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori berkata, PPS DOR Kampung Samy Tapah turut ditutup sepenuhnya pada 12 tengah hari selepas 53 orang daripada 15 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak pula berkata, 260 penduduk dari Taman Permai Slim dan Kampung Balun masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Slim River yang dibuka pada 12.30 tengah malam.

Pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis serta Jabatan Kebajikan Masyarakat memantau lokasi banjir serta PPS. - Bernama