Sisa radioaktif projek Lynas dijangka cecah 1.2 juta metrik tan

Lih Kang pada sidang media di Parlimen bagi menjelaskan berhubung operasi projek Lynas, pada Rabu.
Lih Kang pada sidang media di Parlimen bagi menjelaskan berhubung operasi projek Lynas, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah kira-kira 1.08 juta metrik tan sisa radioaktif (residu WLP) telah dihasilkan daripada projek Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) sejak beroperasi dari tahun 2012 di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, jumlah sisa tersebut dijangka mencecah 1.2 juta metrik tan sehingga Julai 2023.

Justeru, menurutnya, sementara mendapat lanjutan lesen selama tiga tahun, Lynas perlu mematuhi syarat yang dikenakan sejak Mac 2020 supaya aktiviti pemecahan dan peresapan (C&L) yang menghasilkan sisa radioaktif hanya dijalankan sehingga Julai.

"Kerajaan Perpaduan komited dalam mewujudkan persekitaran mesra perniagaan dan memahami kepentingan industri nadir bumi.

"Bagaimanapun, tidak ada mana-mana pihak yang berhak untuk menghasilkan sisa radioaktif secara berterusan di tanah air kita.

"Aktiviti C&L yang menghasilkan sisa radioaktif akan dijalankan di Australia dan tiada aktiviti C&L dilakukan di LAMP di Gebeng, Pahang selepas bulan Julai 2023.

"Aktiviti-aktiviti lain yang tidak melibatkan penghasilan sisa radioaktif dibenarkan untuk terus beroperasi," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, beliau menerusi ciapan di Twitter mengesahkan bahawa Lynas tidak dibenar menjalankan sebarang aktiviti yang akan menghasilkan sisa radioaktif di negara ini selepas Julai ini.

Ia susulan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (Lembaga) telah menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan residu WLP selepas Julai 2023, aktiviti C&L di LAMP dan pengimportan pekatan lantanid daripada Australia.

Chang Lih Kang menjelaskan, Lembaga telah meluluskan pembaharuan lesen Lynas untuk tempoh tiga tahun bermula 3 Mac 2023 sehingga 2 Mac 2026.

"Sekiranya Lynas gagal untuk mematuhi empat syarat berkenaan, lesen mereka akan ditarik balik.

"Semua syarat lesen yang telah diputuskan sebelum ini pada 3 Mac 2020 hingga 2 Mac 2023 perlu terus dipatuhi oleh Lynas," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sekiranya Lynas gagal menghentikan aktiviti C&L yang menghasilkan sisa radioaktif selepas Julai, beliau berkata, Lynas masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan untuk mendapatkan tempoh lanjutan.

"Namun kami telah menghantar pasukan meninjau projek pembangunan bagi proses C&L di Australia dan mendapati ia mencapai 80 peratus siap.

"Kita yakin ia mampu disiapkan sebelum Julai tahun ini," katanya.