PKPIM sedia bantu pelajar ke pengajian tinggi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sedia membantu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memberi galakan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli berkata, berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan negara mendapati hampir 390,000 pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi hingga menimbulkan kegusaran banyak pihak.

“Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), kerajaan menyasarkan seramai 2.5 juta atau 53 peratus rakyat mendapat tempat di pendidikan tinggi menjelang 2025.

“Sasaran ini tampak sukar untuk dipenuhi terutama pasca Covid-19,” jelasnya.

Tambah beliau, pihak PKPIM menyambut baik langkah KPT bagi membantu kos pembayaran kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi ( IPT).

Dalam pada itu, pihaknya juga sedia mengaktifkan perwakilan di setiap negeri seluruh negara bagi membantu usaha KPT.

“Langkah ini dapat memudahkan pelajar dalam proses permohonan Unit Pusat Universiti (UPU),” ujarnya pada Rabu.

Menurut Ahmad Farhan, pihak PKPIM turut menyokong inisiatif pihak KPT bagi membantu persediaan pelajar lepasan SPM ke alam pendidikan tinggi.

Jelasnya, dengan kerjasama antara PKPIM dan KPT dalam melaksanakan program ke menara gading terbukti dapat membantu pelajar dan menjadikan Malaysia menuju masyarakat berpendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara.

“Model pelaksanaan Perkampungan Menara Gading ( PMG) selama hampir 30 tahun telah terbukti dapat membantu pelajar dalam merencanakan persediaan ke alam pendidikan tinggi.

“PKPIM sentiasa bersedia menjadi perantara antara pelajar-pelajar lepasan SPM, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dalam merancang pembelajaran pasca alam persekolahan.

“Ini penting bagi memastikan Malaysia berada landasan menuju negara yang mempunyai masyarakat berpendidikan tinggi paling unggul di ASEAN tercapai,” katanya.