Ancaman monyet liar di Kuala Penyu

Gambar kecil: Datuk Siti Aminah Aching
Gambar kecil: Datuk Siti Aminah Aching
A
A
A

BEAUFORT - Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah digesa untuk mengambil tindakan drastik menangani isu ancaman monyet liar di Kuala Penyu.

Ia berikutan kehadiran ribuan monyet liar sejak tujuh tahun lalu di sekitar daerah itu dilihat memberi ancaman kepada penduduk kampung terutama golongan petani.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata, pihaknya berharap JHL Sabah dapat memasang lebih banyak perangkap di lokasi perkampungan yang padat dengan kumpulan haiwan itu.

"Monyet liar itu bukan sahaja bertindak ganas merosakkan dan memakan tanaman, tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah haiwan itu turut memasuki rumah penduduk dan mengambil makanan serta merosakan harta benda penduduk.

"Saya menerima banyak aduan penduduk tentang ancaman monyet dengan populasi yang banyak menghabiskan sejumlah besar tanaman mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu sebagai respons aduan daripada penduduk Kampung Kekapor berhubung kehadiran haiwan liar itu di Kuala Penyu.

Kehadiran monyet liar di perkampungan sekitar Kuala Penyu memberi ancaman besar kepada penduduk terutama golongan petani di daerah itu.
Kehadiran monyet liar di perkampungan sekitar Kuala Penyu memberi ancaman besar kepada penduduk terutama golongan petani di daerah itu.

Siti Aminah yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, peningkatan jumlah haiwan itu amat membimbangkan dan ia sukar dikawal jika tiada tindakan drastik daripada JHL Sabah.

"Setakat ini, difahamkan JHL ada memasang perangkap namun ia tidak mampu mengurangkan populasi haiwan itu di seluruh kawasan Kuala Penyu," katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa JHL supaya memasang perangkap di setiap kampung yang padat dengan haiwan liar itu agar ancaman monyet berkurangan.

"Ini kerana, Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangun dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga telah membuat laporan di Pejabat Daerah tentang kewujudan monyet liar itu supaya tindakan bersasar dapat ambil," katanya.