'Usah keluar kenyataan mengelirukan, biar RoS siasat'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Presiden dan Timbalan Presiden UMNO diharap tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengelirukan berhubung isu pelanggaran perlembagaan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang telah dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada badan bebas itu untuk menjalankan siasatan selepas menerima laporan dan mengambil keterangan berkenaan perkara itu.

Jelas beliau, pihak berkuasa itu berpuas hati dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara adil secepat mungkin.

"Saya harap mereka dapat bersabar dan tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Biarlah RoS menjalankan siasatan dengan adil dan bebas.

"Terima kasih kepada RoS kerana bersikap tegas. Rakyat di luar bijak menilai, biarlah masa yang menentukan segalanya," katanya di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Aizat Fikri memberitahu, dia telah selesai dipanggil untuk memberi keterangan lebih dua jam susulan laporan dibuat melibatkan usul jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu.

Menurutnya, pihak berkuasa itu telah memanggilnya untuk memberikan keterangan bermula 11.15 pagi sehingga 1.30 tengah hari pada Selasa.

"RoS mengambil maklum berhubung perkara ini dan sedang mengkaji Fasal 8.1 Perlembagaan UMNO: Perhimpunan Agung yang mana kuasa tertinggi parti dan perjalanan parti berasaskan kepada kuasa dan perintahnya tertakluk kepada perlembagaan serta peraturan UMNO.

"Di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan juga telah menyatakan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 orang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hendaklah dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun sekali.

"Isunya, walaupun PAU mempunyai kuasa tertinggi, ia tidak boleh meluluskan sesuatu yang bercanggah atau tiada dalam perlembagaan,"ujarnya.

Tambah Muhammad Aizat Fikri, tempoh 60 hari yang diberikan RoS kepada UMNO berkaitan isu tersebut bukan tempoh siasatan, sebaliknya tempoh untuk parti itu menghantar laporan penuh persidangan baru-baru ini.

"Saya dimaklumkan siasatan bagi laporan ini akan tetap diteruskan. Ia sekali gus menafikan kenyataan Setiausaha Agung UMNO bahawa isu itu telah selesai.

"Saya juga dimaklumkan ada ahli-ahli MKT yang akan dipanggil bagi mendapatkan pandangan mereka tentang usul tersebut dan cara usul itu dibawa," jelasnya.

Sebelum ini, dua ahli UMNO dilaporkan menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.