KJ teruja sertai JDT

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersedia mencurahkan pengalamannya selepas dilantik sebagai Penasihat Belia Johor dan Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut Khairy Jamaluddin, beliau teruja untuk menyertai JDT yang juga sebuah kelab bola sepak terbesar di Asia Tenggara.

"Menjunjung setinggi-tinggi kasih terhadap HRH Crown Prince of Johor Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, atas perkenan Tuanku melantik saya sebagai Penasihat Belia Johor dan Ahli Lembaga Pengarah JDT.

"Saya amat teruja untuk menyertai kelab JDT yang merupakan kelab bola sepak terbesar di Asia Tenggara serta mempamerkan prestasi yang cemerlang pada setiap musim perlawanan.

"Saya akan menyumbangkan sedikit pengalaman yang ada pada saya untuk membantu Tunku Mahkota Johor dalam visi Tuanku untuk menjadikan JDT kelab bola sepak paling unggul di benua Asia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam masa sama, Khairy Jamaluddin juga mahu merealisasikan hasrat Tunku Ismail dalam memperkasakan belia bangsa Johor.

"Ia akan direalisasikan melalui pendidikan, latihan, keusahawanan, kebajikan dan juga memberi perlindungan yang sewajarnya kepada remaja dan kanak- kanak.

"Insya-ALLAH saya akan membalas kepercayaan ini dengan usaha yang bersungguh-sungguh demi kecemerlangan berterusan JDT dan pemerkasaan belia Johor," katanya.