Polis nafi tak ambil tindakan laporan anak kera diseksa

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan tiada tindakan diambil oleh pasukan keselamatan itu berhubung tindakan seorang individu menyeksa seekor anak kera ekor panjang, baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM. Asisten Komisioner A Skandaguru berkata, pasukan keselamatan itu telah mengenal pasti pelaku dalam kes tersebut dan kertas siasatan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

"Arahan seterusnya daripada TPR ialah agar rakaman percakapan susulan dijalankan esok bagi melengkapkan lagi siasatan.

"Kertas siasatan berkenaan seterusnya akan dirujuk semula kepada TPR untuk mendapatkan arahan lanjut. Oleh demikian, dakwaan bahawa tiada tindakan diambil PDRM adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan malam Selasa.

Beliau berkata, semua pihak perlu bekerjasama dan tidak membuat spekulasi mengenai proses siasatan serta memberi ruang bagi prosedur pendakwaan berlangsung.

Skandaguru mengulas laporan media hari ini yang memetik seorang peguam merangkap aktivis N. Rajesh mendakwa polis tidak mengambil sebarang tindakan walaupun laporan dibuat tiga minggu lepas berhubung kejadian itu oleh Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup). - Bernama