Ketua kampung di Perak diumum bulan hadapan

Mohd Zolkafly (tengah) melakukan eksperimen sebagai gimik perasmian Karnival dan Pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di SK Lintang pada Selasa.
Mohd Zolkafly (tengah) melakukan eksperimen sebagai gimik perasmian Karnival dan Pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di SK Lintang pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Senarai ketua kampung baharu bagi negeri Perak akan diumum bulan hadapan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, mekanisme yang sesuai untuk pelantikan itu telah disediakan sebelum dibawa kepada kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Mekanisme ini untuk menentukan jumlah kampung, jumlah ketua kampung dan kampung-kampung yang sesuai untuk diagihkan dan diberikan tanggungjawab.

"Harapan kita supaya mekanisme-mekanisme yang kita cadangkan ini akan dapat satu penyelesaian menyeluruh dan diterima baik antara parti-parti Kerajaan Perpaduan di Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival dan Pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Swasta (KPIBKS) Daerah Kuala Kangsar 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang di sini pada Selasa.

Mohd Zolkafly berkata, proses pelantikan kali ini mengambil sedikit masa kerana situasi telah berbeza dan perlu mengharmonikan setiap cadangan daripada semua pihak.

"Langkah ini supaya semua pihak berpuas hati dengan cadangan dan mekanisme yang sudah kita siapkan.

"Rundingan peringkat akhir jawatankuasa teknikal dan peringkat negeri akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini memaklumkan, semua ketua kampung di Perak ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 31 Disember lalu melalui satu pekeliling melibatkan semua pemegang jawatan terlibat.

Pelantikan bagi posisi jawatan itu sedang diteliti oleh exco berkaitan sebelum diluluskan.