Anggota JPJ didakwa beri suapan

Che Fadzlie Izwan (depan) dan Mohd.Rafi (belakang) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di sini, pada Selasa.
Che Fadzlie Izwan (depan) dan Mohd.Rafi (belakang) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas tuduhan memberikan suapan berjumlah RM7,850 untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melebihi muatan dibenarkan.

Tertuduh, Mohd. Rafi Abd. Rahman, 59, dan Che Fadzlie Izwan Che Johari, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd.Rafi yang berdepan enam pertuduhan didakwa memberikan suapan RM600 bagi tempoh enam bulan kepada seorang pemeriksa kereta motor Gred AB29 di JPJ Melaka sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang mempunyai pelekat Pepsi atau Saudagar atas kesalahan melebihi muatan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir kereta JPJ Bukit Katil di sini, antara 1 Julai 2018 hingga 31 Disember 2018.

Manakala Che Fadzlie Izwan berdepan lapan pertuduhan membabitkan jumlah suapan antara RM400 hingga RM900 kepada tiga individu berbeza di JPJ Melaka sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan sama.

Tindakan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir dan Bahagian Penguatkuasaan di JPJ Bukit Katil di sini, antara 1 Januari 2019 hingga 30 April 2020.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama jika sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM15,000 kepada setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius serta memohon syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat.

Mohd. Rafi yang diwakili peguam Azalea Nazihah Zulkefli merayu dikenakan jaminan yang rendah kerana tertuduh masih menyara keluarga selain telah menerima notis penggantungan kerja.

Dalam pada itu, Che Fadzlie Izwan yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan digantung kerja dan perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 seorang dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mohd.Rafi diarahkan melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sementara Che Fadzlie Izwan di Pejabat SPRM Seremban, Negeri Sembilan pada setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.