Wanita sarat mengandung didenda pukul bekas rakan sekerja

Nur Shahirah terpaksa membayar denda RM3,000 kerana memukul bekas rakan sekerja dengan gelas kaca.
Nur Shahirah terpaksa membayar denda RM3,000 kerana memukul bekas rakan sekerja dengan gelas kaca.
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan seorang wanita sarat mengandung memukul bekas rakan sekerja dengan gelas kaca membawa padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa.

Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Shahirah Choo Fui Tze Chen, 40, selepas dia mengaku bersalah atas kertas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut, namun mangsa telah menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 39 tahun menggunakan gelas kaca.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.15 pagi di sebuah restoran di Kemayan Square di Seremban, 6 Disember 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara 10 tahun atau dengan denda, sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, P A Krishnaveni merayu hukuman rendah diberikan terhadap tertuduh yang bukan saja ibu kepada seorang anak berusia 13 tahun tetapi juga sedang mengandung sembilan bulan.

Katanya, tertuduh benar-benar menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa sedang berbual di telefon dengan bapa saudaranya, kepalanya telah dipukul dengan gelas kaca berkali-kali dari arah belakang oleh tertuduh yang merupakan bekas rakan sekerjanya di sebuah pusat refleksologi.

Insiden itu mengakibatkan mangsa mengalami bengkak pada bahagian kepala, luka di dahi dan patah ibu jari tangan kiri selain menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.