Semangat Alonso masih menyala

Alonso (kiri) melihat jentera baharu Aston Martin di Silverstone, England. - Foto BBC Sports
Alonso (kiri) melihat jentera baharu Aston Martin di Silverstone, England. - Foto BBC Sports
A
A
A

MASA semakin mencemburui Fernando Alonso menjelang sesi ujian pramusim perlumbaan Formula Satu (F1) di Sakhir, Bahrain minggu depan dalam misi memburu gelaran ketiga musim ini.

Biarpun impian tersebut nampak sukar, namun pemandu berusia 41 tahun itu enggan berputus asa.

Alonso yang sudah meraih 32 kemenangan grand prix menyertai Aston Martin dengan kontrak dilaporkan dua tahun berserta pilihan tambahan tetap bersemangat untuk membantu pasukan baharunya itu.

“Saya percaya ia boleh berlaku,” kata Alonso.

Alonso yang meraih kejayaan bersama Renault, McLaren dan Ferrari ditemui media ketika sesi pelancaran jentera AMR23 di ibu pejabat pasukan di Silverstone pada Isnin.

Secara jujur Alonso mengakui cabaran F1 edisi 2023 agak sengit, namun beliau dan pasukan akan berjuang untuk meraih kejayaan tahun ini.

“Pada masa sama kami mahukan kereta yang bagus, memajukannya dan bekerja keras.

“Mungkin pada pertengahan musim kami boleh merapatkan jurang. Jika ada peluang, kami tak akan lepaskan.

“Namun pada permulaan saya jangkakan beberapa perlumbaan sukar sehinggalah kami temui jalan penyelesaian,” ujar Alonso.

Sebagai rekod belum ada pemandu F1 yang menjuarai perlumbaan selepas tampil kali ke-300.

Alonso sudah pun mencatat rekod 355 dan muncul pemandu tertua di grid.