Kerajaan semak semula kategori kumpulan pendapatan - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Ekonomi sedang menyemak semula kategori kumpulan pendapatan isi rumah sedia ada bagi membolehkan bantuan yang lebih bersasar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, semakan ini akan mengambil kira perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan, kos sara hidup, kuasa beli, demografi serta lokasi isi rumah.

Jelas beliau, kategori kumpulan pendapatan isi rumah yang baharu akan memantapkan lagi penggubalan dasar dan menambah baik penyampaian perkhidmatan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan merancang untuk beralih daripada pemberian subsidi menyeluruh menggunakan pendekatan berdasarkan kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada pendekatan yang lebih bersasar.

“Ini mengambil kira antaranya pendapatan boleh guna yang dipadankan dengan kos sara hidup semasa berdasarkan demografi ahli keluarga dan lokaliti.

“Pada masa ini, Kementerian Ekonomi melalui Jabatan Perangkaan Malaysia sedang membangunkan infrastruktur data yang bersesuaian untuk membantu penggubalan dasar yang berasaskan bukti (evidence-based),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang bertanyakan pecahan terkini garis pendapatan rakyat Malaysia dan apakah langkah yang diambil kerajaan bagi membantu golongan M40 yang dikatakan kini telah menjadi M70.

Tambah Rafizi, Jabatan Perangkaan Malaysia juga sedang memuktamadkan dapatan Survei Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas 2022 melibatkan 92,000 isi rumah bermula daripada Januari 2022 hingga Disember 2022.

Had pendapatan bagi setiap kumpulan pendapatan akan dikemas kini melalui kajian ini yang dijangka diterbitkan dalam pertengahan 2023.