Harga sayur di Pulau Pinang mula turun

Jegan (dua dari kiri) meneliti harga ikan di Pasar Awam Bayan Baru ketika menyertai Ops Suri dan Ops Menu pada Selasa.
Jegan (dua dari kiri) meneliti harga ikan di Pasar Awam Bayan Baru ketika menyertai Ops Suri dan Ops Menu pada Selasa.
A
A
A

BAYAN BARU - Harga beberapa jenis sayur di Pulau Pinang mengalami trend penurunan sehingga 42 peratus sejak beberapa minggu lalu.

Antara sayuran tersebut ialah tomato turun antara 5.3 hingga 42 peratus, kacang panjang (8.33 hingga 25 peratus) dan brokoli (6.7 hingga 20 peratus).

Selain itu, harga terung panjang juga turun antara 6.7 hingga 20 peratus, terung bulat (6.7 hingga 25 peratus), kacang bendi (6.3 hingga 20 peratus), limau kasturi (6.3 hingga 22 peratus) dan lada benggala hijau (5.6 hingga 20 peratus).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, harga beberapa sayuran mula menurun antara 2.9 hingga 42 peratus mengikut jenis selepas bekalan didapati telah stabil.

Bagaimanapun kata beliau, harga enam jenis sayur dilaporkan naik antara 2.1 hingga 73 peratus.

"Dnam jenis sayur tersebut ialah kubis bunga (6.7 hingga 73 peratus), sawi (7.1 hingga 33 peratus), kailan (8.3 hingga 30 peratus), kacang buncis (6.3 hingga 50 peratus), timun (8.6 hingga 16.7 peratus) dan lada benggala merah (2.1 hingga 53 peratus).

"Senarai penurunan dan kenaikan harga sayur-sayuran ini merupakan perbandingan bagi 12 dan 13 Februari yang mana, setiap hari kita akan memantau harga-harga barangan termasuk sayur-sayuran, ikan dan ketam bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati," katanya selepas menyertai Ops Suri dan Ops Menu di Pasar Awam dan Makanan Bayan Baru di sini pada Selasa.

Beliau turut menafikan beberapa dakwaan mengenai kenaikan harga sayur-sayuran yang melampau di negeri ini sehingga 160 peratus.

"Walaupun ada beberapa jenis sayur menunjukkan peningkatan harga, namun setakat ini, tiada kenaikan harga sayur-sayuran yang melampau sehingga 160 peratus seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Peratusan yang naik tidak melebihi 100 peratus, oleh itu, dakwaan bahawa harga naik secara melampau itu tidak benar. Kita menjalankan pemantauan harga setiap hari bagi memastikan tiada kenaikan harga barangan yang tidak masuk akal," katanya.

Dalam pada itu, Jegan berkata, sehingga Isnin, 13 sebanyak 5,264 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh Pulau Pinang dengan tiga daripadanya diambil tindakan.

"Tindakan yang diambil adalah kerana peniaga telah melakukan kesalahan di bawah Ops Menu 3.0 melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Selain itu, sehingga semalam (Isnin) juga, kita juga mengeluarkan sebanyak 36 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga borong dan runcit di negeri ini berdasarkan isu kenaikan harga barangan termasuk sayur-sayuran seperti sawi, kacang panjang, kubis, tomato, kangkung, kacang bendi dan timun," katanya.