Nazri Aziz sedia tidak terima gaji duta

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri
A
A
A

SHAH ALAM - Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan bersedia untuk tidak menerima gaji selepas memulakan tugas berkenaan kerana gaji bukan suatu keutamaannya.

Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau tidak akan menolak sekiranya kerajaan memberikan gaji bagi tugasannya sebagai duta di Amerika Syarikat.

Beliau turut menegaskan menerima jawatan tersebut bukan disebabkan duit.

"Seperti (bekas) duta-duta yang memberitahu bahawa rugilah calon-calon lain tak dapat duit. Mungkin gaji tinggi agaknya.

"Saya pun macam Perdana Menteri di mana saya tak perlu gaji ini. Saya ada duit sikit dan tak perlu gaji.

"Mungkin juga sebab difikirkan saya ada tugas tertentu yang boleh saya berikan dan sebab itu mereka putuskan (lantik saya)," katanya seperti dipetik laporan media tempatan pada Selasa.

Menurut Mohamed Nazri, beliau bukan lagi sebagai ahli politik dan wang bukanlah satu matlamat buat dirinya.

"Tapi kalau (kerajaan) nak bagi (gaji) kita ambil dan saya bukan lagi ahli politik, wang bukan matlamat," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan penerimaan terhadap lantikan jawatan tersebut bukan soal gaji semata-mata.

"Tetapi disebabkan saya mahu tanggungjawab dan merasakan masih boleh memberi sumbangan kepada kerajaan untuk selama dua atau tiga tahun lagi," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik 10 orang Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia termasuk Mohamed Nazri yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa pelantikan Mohamed Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dilakukan setahun yang lalu.

Anwar berkata, watikah baharu dilakukan disebabkan Amerika Syarikat mengambil masa sehingga enam bulan untuk mengesahkan pelantikan itu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata, Mohamed Nazri merupakan personaliti yang sesuai sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat kerana berupaya merapatkan hubungan antara kerajaan kedua-dua negara.