Ghairah ikut trend ‘05 luhh’ tapi tak tahu maksud di sebaliknya

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini, jiran Merak Jalanan, Cikgu Syukor yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah memberitahu mengenai satu trend TikTok yang menjadi kegilaan anak-anak muridnya.

Menurut Cikgu Syukor, beliau menegur anak muridnya kerana membuat rakaman TikTok dengan menyebut satu ayat iaitu “Tak cukup tidur tapi bertenaga... 05 luhh.”

Menurut beliau, ayat itu kini trending sehingga menjadi ikutan kanak-kanak yang masih bersekolah.

Apabila ditanya kepada anak muridnya, seorang pun tidak tahu maksud di sebalik ayat tersebut. Hanya mengikut saja.

Merak Jalanan pun tak pernah dengar. Maklum sahaja Merak Jalanan memang jarang buka TikTok.

Sebab nak tahu, Merak Jalanan buka TikTok. Memang benar, banyak rakaman video TikTok menyelitkan ayat tersebut atau paling tidak menggunakan perkataan ‘05 luhh’.

Merak Jalanan bertanya kepada Cikgu Syukor, apa maksud di sebalik ayat tersebut. Tergamam Merak Jalanan kerana ia sebenarnya merujuk kepada penggunaan dadah jenis ais ketulan kristal.

Perkataan 05 itu merujuk kepada berat 0.5 gram dan apabila penagih mengambil barangan tersebut, kesannya tidak boleh tidur tetapi tetap bertenaga. Perkataan ‘luh’ pula bermaksud ‘dahulu’.

Merak Jalanan cuba dapatkan kepastian dengan mencari di Google, tapi hampa kerana tiada maklumat berkaitan trend tersebut.

Cuma di ruangan komen media sosial, ada yang memberi pendapat sama iaitu berkaitan penggunaan dadah.

Tak tahulah betul ke tidak, tapi kalau benarlah apa yang dikatakan, Merak Jalanan gesa supaya trend ini dihentikan segera kerana ia memberi contoh tidak baik kepada generasi muda.

Nasihat Merak Jalanan, janganlah terlalu ghairah meniru trend di TikTok tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

Bagi ibu bapa, pantaulah anak-anak supaya tidak mudah terikut-ikut.