Industri dron dijangka capai nilai pasaran RM12.13 bilion

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

INDUSTRI dron Malaysia dijangka mencecah nilai pasaran berjumlah sehingga RM12.13 bilion atau 4.3 peratus daripada keseluruhan bahagian pasaran global pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian pasaran pada 2021, industri dron global dijangka menjana nilai pasaran sejumlah AS$41.3 bilion (AS$1=RM4.36) dan Malaysia berazam untuk terlibat secara aktif dalam industri yang sedang berkembang ini.

Katanya, kerajaan komited untuk membangunkan industri berteknologi tinggi seperti industri dron supaya lebih ramai golongan muda dapat memanfaatkan teknologi baharu yang memberi impak tinggi terhadap ekonomi negara.

"Perkara melibatkan penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu adalah antara komponen tumpuan utama kerajaan hari ini dan perkara itu akan turut diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2023 akan datang,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Ahmad melancarkan program inkubator sukan dron - Dronecubator di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Program dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) itu akan dikendalikan oleh Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) dan Futurise, anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah MoF.

Program Dronecubator yang dibangunkan UKM turut bekerjasama dengan Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (Aksadron), bertujuan melatih bakat baharu dan memberi pendedahan tentang teknologi sukan dron dengan memberi fokus kepada penggunaan teknologi terkini. - Bernama