Lotus’s Malaysia agih 2.425 juta kg makanan tidak terjual

Lotus’s Malaysia mengagihkan sumbangan barangan kepada orang ramai.
Lotus’s Malaysia mengagihkan sumbangan barangan kepada orang ramai.
A
A
A

SHAH ALAM - Lotuss Stores (M) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) menyelamatkan 2.425 juta kilogram makanan tidak terjual untuk diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik di negara ini.

Ketua Komunikasi dan CSR Lotus’s Malaysia, Hanim Hamdan berkata, program lebihan makanan itu berjaya membantu golongan B40 dan B10 untuk mendapatkan akses kepada makanan berkhasiat lebih-lebih lagi di dalam kemelut peningkatan kos sara hidup.

"Lotus’s telah menyediakan bantuan diperlukan oleh komuniti B40 dan B10 yang terkesan peningkatan kos sara hidup selain menyelamatkan makanan selamat dan boleh dimakan daripada dibuang ke tapak pelupusan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, syarikat peruncitan itu dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen telah mengedarkan lebih 500 kilogram sayur-sayuran, buah-buahan dan roti bakeri kepada 30 keluarga di Mount Erskine, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, katanya, Lotus's Malaysia turut mengaktifkan aktiviti lapangan pertamanya bagi kempen 'Sama-Sama Hidup Baru' bersama rakan kongsi amal, Kechara Soup Kitchen di Pusat Khidmat Gelandangan, Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, pusat itu menyediakan perlindungan dan sokongan kepada 280 golongan gelandangan dan komuniti miskin bandar.

"Program ini merupakan aktiviti lapangan pertama daripada lima lagi lokasi inisiatif untuk membantu golongan gelandangan, golongan terbiar dan komuniti miskin bandar untuk bangkit semula dalam meneruskan hidup.

"Kita juga menyediakan akses kepada penjagaan kebersihan dan juga makanan selamat dan berkhasiat yang akan berlangsung pada sepanjang tahun ini," ujarnya.

Menurut beliau, berbekalkan semangat #KitakanJiran Lotus’s Malaysia akan terus memainkan peranan dan perhatian kepada komuniti setempat.

"Melalui inisiatif seperti ini, kami bersama-sama rakan kongsi kami ingin individu yang sering dilupakan ini mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap kehidupan mereka melalui sebutir harapan diperbaharui supaya mereka boleh menjadi ahli masyarakat berdikari.

"Dengan sokongan daripada pelanggan kami, kami boleh mendekati lebih ramai orang yang memerlukan,” kata Hanim.

Sehubungan itu, katanya, sebanyak 280 pek penjagaan kebersihan disumbangkan Lifebuoy dan Clear kepada individu di Pusat Khidmat Gelandangan, Medan Tunku.

Menurut beliau, pengumpulan dana amal digital itu dilancarkan pada Disember tahun lalu itu bermatlamat untuk memberi permulaan baharu kepada 3,000 golongan gelandangan dan golongan terbiar.

"Pelanggan boleh mengambil bahagian dalam program #KitakanJiran dengan menderma sekurang-kurangnya 390 mata MY Lotus’s (RM2) melalui aplikasi Lotus's Malaysia.

"Mata disumbangkan akan ditukar kepada makanan, kit kebersihan dan keperluan lain, termasuk sesi ubah suai dan peluang untuk menyertai Krew Ceria Lotus.

"Kami berharap perubahan dan sokongan diberikan akan meningkatkan keyakinan mereka dan membuatkan mereka berasa selesa dengan diri masing-masing," jelas beliau

Kata beliau, inisiatif seperti itu diharap dapat memotivasikan mereka untuk menjadi individu lebih produktif, berusaha mencari nafkah supaya mereka dapat mengeluarkan diri mereka daripada kemelut kehidupan pada masa sekarang.

"Aktiviti di lapangan ini juga akan dijalankan di lokasi seperti Pudu, Ipoh, Pulau Pinang dan Johor dan pelanggan yang berminat untuk menderma mata MY Lotus’s mereka boleh berbuat demikian melalui aplikasi Lotus’s Malaysia sehingga Disember depan," kata beliau.