[VIDEO] 29 kedai makan di Terengganu tawar Menu Rahmah

Nor Haziqah Md Azmi menunjukkan lima hidangan menu Rahmah yang ditawarkan di di Kedai Tok Mi Selera Kampung, di Kuala Nerus.
Nor Haziqah Md Azmi menunjukkan lima hidangan menu Rahmah yang ditawarkan di di Kedai Tok Mi Selera Kampung, di Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Sebanyak 29 kedai makan di Terengganu menawarkan Menu Rahmah bagi menyahut seruan kerajaan untuk membantu golongan sasar yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, daripada jumlah itu sebanyak 17 kedai berada di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (tiga), Marang (dua), Kemaman (dua), Dungun (dua), Besut (dua) dan Hulu Terengganu (satu).

"Kita akan memperluaskan lagi promosi serta penerangan terperinci mengenai pelaksanaan menu tersebut.

"Sebenarnya sebelum ini sudah banyak kedai makan atau restoran di Terengganu yang mengambil inisiatif menyediakan Menu Rahmah, namun menggunakan gelaran lain seperti nasi bajet dan sebagainya.

"Populariti hidangan ini kini semakin popular dan lebih dikenali ramai dengan nama Menu Rahmah," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan Menu Rahmah di Kedai Tok Mi Selera Kampung, di sini, pada Isnin.

Saharuddin (tiga dari kiri) menunjukkan antara hidangan menu Rahmah yang ditawarkan di Kedai Tok Mi Selera Kampung, di Kuala Nerus.
Saharuddin (tiga dari kiri) menunjukkan antara hidangan menu Rahmah yang ditawarkan di Kedai Tok Mi Selera Kampung, di Kuala Nerus.

Menurut Saharuddin, harga maksimum bagi Menu Rahmah ialah RM5 ke bawah bagi satu hidangan dan tidak melebihi kadar harga yang ditetapkan.

Jelas beliau, kualiti makanan ditawarkan juga adalah sama dengan menu biasa yang lain namun ia bergantung kepada kuantiti hidangan itu sendiri.

"Menu Rahmah merupakan set hidangan makanan tengah hari atau makanan seimbang merangkumi nasi, protein sama ada ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan pada harga berpatutan.

"Namun, sekiranya terdapat mereka yang mengambil kesempatan menawarkan Menu Rahmah melebihi kadar ditetapkan ia telah melanggar etika dan kita akan bertindak sekiranya terdapat aduan," ujarnya.

Jelas beliau, pihak kementerian kini dalam usaha membangunkan direktori sebagai rujukan lokasi-lokasi kedai makan yang menawarkan menu itu.

Selain itu, katanya, pihak kementerian juga akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus bersama pengusaha restoran dan kedai makan bagi mempromosikan lagi Menu Rahmah.

"Pada peringkat awal pelaksanaan inisiatif ini, pihak kementerian mengadakan sesi libat urus industri bersama wakil-wakil persatuan dan pengusaha restoran.

"Inisiatif ini kini diperluas lagi kepada pengusaha restoran, kedai makan, kiosk dan sebagainya yang tidak bernaung di bawah persatuan," katanya.