Maqis tumpas cubaan bawa masuk hasil pertanian

Penguat kuasa Maqis melihat pelbagai hasil pertanian yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah ketika pemeriksaan di Terminal ICQS di Muara Sungai Melaka, pada Ahad.
Penguat kuasa Maqis melihat pelbagai hasil pertanian yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah ketika pemeriksaan di Terminal ICQS di Muara Sungai Melaka, pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Melaka berjaya menumpaskan cubaan membawa masuk pelbagai hasil pertanian secara tidak sah dari negara jiran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Muara Sungai Melaka di sini, pada Ahad.

Pengarah Maqis Melaka, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, hasil pertanian seperti cili segar dan buah limau itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui individu dari Dumai dan Bengkalis, Indonesia.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan penguat kuasa menemukan barangan pertanian seperti cili segar dan buah limau yang disimpan dalam beg pakaian dibawa individu terbabit.

"Hasil pertanian itu disembunyikan dalam bagasi pakaian yang diisi dalam beg plastik sebelum diperiksa Pegawai Penguat Kuasa Maqis.

"Ini merupakan kesalahan cubaan membawa masuk barangan pertanian tanpa sebarang dokumen pengimportan seperti Permit Import Maqis dan Sijil Fitosanitasi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, kejayaan itu adalah hasil kerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia.

Ujarnya, kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kita menasihatkan penumpang feri dari negara luar perlu mematuhi segala peraturan dan syarat yang ditetapkan terutama membawa masuk produk-produk pertanian," katanya lagi.